Bapa Redha Pemergian Anak

Sharun Ramli 
"Allahyarham sepatutnya pergi melapor diri ke kem persedian akhir Sukan Malaysia (SUKMA) di Kuala Terengganu pada petang semalam namun dia menangguhkannya untuk pergi pada sebelah petang, sekarang semuanya tinggal kenangan kerana dia sudah tiada."

Itu luahan Sharun Ramli , 59 ,  bapa kepada Shahir Aqil, 19, yang mayatnya ditemukan terdampar di Pantai Teluk Kalong pada pukul 4.30 pagi tadi selepas lemas bersama dua lagi rakannya ketika mandi-manda di pantai tersebut semalam.

Menurut Sharun, kematian anak keempat dari lima beradik itu amat mengejutkannya dan pemergiannya amat dirasai kerana Allahyarham merupakan seorang yang sangat ceria, aktif dan sangat mengambil berat terhadap semua orang.

Tambahnya, Allahyarham merupakan seorang pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik  Ibrahim Sulatan, Pasir Gudang, Johor dan mula aktif dalam sukan pencak silat sejak berusia 14 tahun.

Menurutnya, sebelum ini Allahyarham telah tercalon untuk mewakili negeri Terengganu dalam SUKMA pada tahun 2016 yang berlangsung di Sarawak tetapi dia tidak mengizinkannya kerana mahu Allahyarham memberikan tumpuan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa itu.

"Dia merupakan seorang yang aktif dan amat komited dalam bidang yang diceburinya tetapi Allah lebih sayangkan dia dan kami sekeluarga redha dengan ujian yang diberikan kepada kami sekeluarga," katanya.

Menurutnya lagi, dia tidak mengetahui bahawa Allahyarham pergi ke pantai tersebut untuk berkelah kerana dia diberitahu bahawa Allahyarham hendak pergi menghadiri satu kenduri berdekatan dengan rumahnya sehingga diberitahu mengenai  berita kematian anaknya itu.

"Kami sekeluarga tidak tahu Allahyarham hendak pergi memancing dan barbeku di Teluk Kalong kerana kami dimaklumkan hanya pergi ke rumah kenduri berdekatan rumah kami sahaja, selepas makan di kenduri itulah, Allahyarham pergi berkelah ke Teluk Kalong bersama enam lagi rakannya.

Jenazah mangsa dituntut oleh ahli keluarganya di Unit Forensik Hsopital Kemaman pada pukul 3.00 petang  selepas selesai proses bedah siasat dan urusan pengebumian dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jabur Kubur selepas solat Asar.

Jenazah mangsa yang siap dikafankan dibawa untuk dikebumikan.
Sementara itu, seorang dari empat mangsa yang selamat, Muhammad Naufal Abd Rahman, 19, berkata, walaupun belajar di Johor, Allahyarham sering berhubung dengan kawan-kawan rapatnya semasa belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Chukai dan meluangkan masa bersama setiap kali cuti semester.

"Kami selalu berhubung melalui applikasi Whatsapp dan kali terakhir kami berkumpul beramai-ramai sebelum ini ialah ketika cuti Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Semalam pun, asalnya kami hanya memancing dan barbeku sahaja.

"Namun seorang dari tiga mangsa mengajak kami bermandi manda dengan alasan aktiviti memancing dan barbeku sering dilakukan bersama. Kami hanya mahu meraikan pertemuan kali ini dengan gembira, tak sangka berakhir tragedi," katanya hiba.

Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, Allahyarham bersama dua lagi rakannya Ahmad Daniel Firdaus Zubir, penuntut Universiti MSU, Kuala Lumpur , Khairil Ikmal Danial Zamzuradi, penuntut Politeknik Kota Baharu,Kelantan,  dikhuatiri lemas  selepas dihanyutkan  arus deras ketika sedang mandi bersama empat lagi rakannya yang lain.

Sehingga kini operasi mencari dan menyelamat dua lmangsa masih diteruskan namun masih gagal untuk menemui kedua - dua mayat mangsa.


Tag: