Menjaga Maslahat Umum Lebih Utama Berbanding Perasaan Malu Pesalah
KUALA TERENGGANU, 9 April – Batu Burok Beach kembali mengadakan majlis berbuka puasa bersama golongan asnaf setelah kerajaan mula membenarkan aktiviti sosial sedemikian.
Pengurus Besar, Kama Rezuan Kamaruddin berkata, aktiviti berbuka puasa itu dilaksanakan oleh pihaknya setiap kali Ramadan bagi menyantuni warga istimewa, anak yatim serta ibu tunggal.
“Program berbuka puasa ini antara acara tahunan Batu Burok Beach Resort bersama masyarakat namun dua tahun kita terhalang disebabkan COVID-19.
“Majlis kali ini kita raikan warga istimewa daripada enam buah Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman dalam Majlis Iftar bersama warga istimewa kelmarin.
Kama Rezuan turut berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan golongan sasaran yang menjadi tetamu istimewa dalam majlis yang dianjurkan.
Seramai 38 orang kelainan upaya (OKU), 12 anak yatim serta ibu tunggal diraikan pada majlis tersebut turut menerima sumbangan duit raya daripada pihak penganjur.
Batu Burok Beach Resort turut menawarkan pilihan berbuka puasa di premis mereka dengan tema suasana pemandangan pantai dan dekorasi tradisional sepanjang Ramadan ini dengan harga yang berpadanan.