Berita :
Realiti Lonjakan Kos Diesel Terhadap Rantaian Bekalan Nelayan
Realiti Lonjakan Kos Diesel Terhadap Rantaian Bekalan Nelayan
Ahmad Zaeem Zainudin
2 jam yang lepas
54

KUALA TERENGGANU, 7 April - Lonjakan mendadak harga diesel negara pada tahun ini bukan sahaja memberi kesan langsung kepada kos operasi nelayan, malah turut mendedahkan realiti sebenar rantaian bekalan sektor perikanan yang jauh lebih kompleks daripada tanggapan umum.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, kebergantungan kepada subsidi bahan api semata-mata tidak mencerminkan keseluruhan cabaran yang dihadapi golongan nelayan.

Beliau menjelaskan bahawa dalam rantaian pengeluaran hasil laut, pelbagai komponen kos lain turut terlibat dan terkesan secara tidak langsung apabila berlaku kenaikan harga diesel.

"Dalam rantaian pengeluaran hasil laut, nelayan perlukan kos untuk beli pukat, kawat bubu, peralatan buat unjam, peralatan tangkapan, air batu, keperluan penyelenggaraan serta alat ganti bot, bekalan makanan dan pelbagai lagi," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mempersoalkan mengenai jaminan bahawa harga barangan tersebut tidak akan meningkat susulan kenaikan kos bahan api dalam sektor logistik.

"Semua barangan dan perbekalan ini diangkut dengan lori yang menggunakan minyak diesel. Apa jaminan bila harga minyak naik maka dijamin harga semua barangan ini tak naik?," soalnya dalam satu hantaran media sosial rasminya, beberapa hari yang lalu.

Persoalan tersebut merupakan 'bidasan' terhadap kenyataan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil yang sebelum ini mengingatkan peniaga agar tidak menaikkan harga ikan dengan alasan kenaikan diesel, memandangkan subsidi masih diberikan kepada sebahagian besar nelayan.

Namun menurut Dr. Azman, kesan kenaikan harga diesel turut merangkumi proses selepas pendaratan hasil laut, termasuk pengangkutan oleh peraih.

"Bila ikan didaratkan di jeti atau pelabuhan, ikan akan dibeli oleh peraih atau tokey ikan yang diangkut menggunakan lori. Lori guna minyak diesel. 

"Bila harga minyak dalam tangki lori naik, maka apakah harga ikan di atas lori tak naik?" soalnya lagi terhadap kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, menurut satu kenyataan yang berbeza, beliau turut berkongsi peningkatan kos peralatan asas nelayan sebagai contoh tekanan yang dihadapi di peringkat awal bagi sektor perikanan itu.

"Sekadar nak kongsi, sekitar 2 bulan lepas harganya RM3,300. Semalam nelayan hantar bil harganya sudah meningkat RM3,500," katanya merujuk kepada harga kawat BRC yang digunakan untuk membuat bubu.

Tambahnya, kos tersebut bukan sahaja tinggi, malah hasil tangkapan juga tidak menentu dan peralatan sering mengalami kerosakan atau berisiko untuk hilang.

"Sekali buat bubu jangan ingat ia boleh bertahan setahun. Kalau satu bubu yang ditahan boleh angkat sekali atau 2 kali, ia sudah cukup baik.

"Ada ketikanya, bubu yang ditahan tak memberikan hasil walaupun sekali samada hilang angkara pukat tunda atau lain-lain sebab," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada nelayan dan peniaga apabila harga hasil laut meningkat.

"Menyalahkan nelayan bila harga hasil laut meningkat adalah pertimbangan yang singkat. Adalah tidak adil apabila beban hidup meningkat, mereka hanya sekadar perlu pasrah," ujarnya.

Meskipun begitu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus berusaha membantu golongan nelayan yang terkesan.

"Kita akan terus membantu selagi termampu samada melalui peruntukan Kerajaan Negeri atau poket sendiri," katanya.

Lonjakan harga diesel daripada RM2.92 seliter pada Februari kepada RM6.02 awal April lalu dilihat sebagai pencetus kepada kesan berantai dalam keseluruhan ekosistem rantaian bekalan makanan, termasuk sektor perikanan yang bergantung kepada pelbagai medium logistik dan operasi.


Ketupat

Artikel Berkaitan