Bayi Derita Jangkitan Kuman Paru-Paru Perlu Bantuan


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 20 Januari - Sepasang suami isteri tabah menjaga anak bongsu mereka yang menderita akibat jangkitan kuman pada paru-paru selepas empat bulan dilahirkan.

Anak pasangan itu, Muhammad Ardani Mohd Suhaimi yang kini berusia 11 bulan dijaga rapi sepanjang masa supaya tidak terdedah dengan udara luar kerana mudah sesak nafas.

Menurut ibu bayi itu, Norhidayah Jaafar, 32, ketika dilahirkan Ardani  normal seperti bayi lain tetapi selepas empat bulan keadaannya berubah.

“Doktor mengesahkan Ardani dijangkiti kuman pada paru-paru menyebabkannya ditahan di wad  Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu selama tujuh  bulan.

"Selepas itu doktor yang merawat memberi kebenaran untuk pulang ke rumah dengan syarat perlu menyediakan bilik khas yang dipantau doktor pakar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dikunjungi isteri  kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Hajah Rugayah Mahmood di rumahnya di Taman Rakyat Jaya di sini, baru-baru ini.

Menurut  Norhidayah, anaknya bernafas dengan bantuan mesin memandangkan paru-paru yang tidak kuat.

"Insya-Allah, semakin besar nanti, bolehlah tak pakai mesin dan mesin ini adalah sumbangan daripada Majlis Perbandaran Dungun (MPD).

“Saya terpaksa bergilir dengan suami, Mohd Suhaimi Abd Rahman, 36, mengambil cuti kerana masing-masing bekerja,” katanya yang juga seorang penjawat awam dan bertugas di Dungun.

Katanya, dia bercadang memohon bantuan Tabung Darul Iman bagi meringankan beban membeli susu khas yang dianggarkan berharga  RM34 untuk tempoh hanya tiga hari, ubat-ubatan dan barang keperluan lain.

"Vaksin untuk cegah kuman harganya RM19,000 yang mengandungi lima dos, sekarang tinggal dua dos, itu pun mendapat sumbangan MPD juga," katanya.


Tag: