Belanjawan 2021: Terengganu Suntik 'Tonik' Buat Pengusaha Kecil

KUALA TERENGGANU, 23 November - Para peniaga Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di Terengganu bakal menerima suntikan baru apabila kerajaan negeri mengumumkan Pusat Bersepadu Pemasaran PKS dalam pembentangan Belanjawan 2021, hari ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, pemerkasaan tersebut bukan sekadar berbentuk latihan kemahiran kepada peniaga-peniaga sebagaimana sebelum ini. 

"Inisiatif ini adalah bagi mempercepatkan proses pemulihan PKS dan pertumbuhan ekonomi negeri. Ia sebagai sokongan kepada program-program latihan  pemasaran sedia ada.

"Pemilik PKS akan ditawarkan pilihan pakej yang sesuai dengan yuran yang rendah untuk memasarkan barangan dan perkhidmatan mereka dengan lebih berkesan yang akan diurus oleh tenaga pakar dalam bidang pemasaran terutamanya pemasaran digital," katanya ketika berucap pada pembentangan berkenaan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Jelasnya, inisiatif terbabit melibatkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta termasuk RM400 ribu bagi menaik taraf aplikasi GanuShop.

 

 


Tag: