Belia Terengganu Disaran Tubuh Koperasi Kembang Kemahiran

KUALA TERENGGANU, 19 Januari- Belia di negeri ini disaran supaya menubuhkan koperasi yang mampu memberi manfaat besar kepada golongan berkenaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi, dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Yusop Majid berkata, langkah tersebut bukan sahaja dapat mengembangkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang keusahawanan koperasi malah akan membantu anak-anak muda menimba berpengalaman dalam menguruskan perniagaan.

“Inilah saat yang cukup sesuai kita dapat tampilkan banyak lagi koperasi yang dianggotai oleh anak-anak muda.

“Kita juga wajar untuk membimbing golongan ini (menubuhkan koperasi) dan melatih mereka sebagai pelapis usahawan kerana sangat rugi sekiranya tenaga serta ilmu pengetahuan mereka tidak digunakan sebaiknya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sesi Libat Urus Bersama Gerakan Koperasi Terengganu 2025 di Dewan Matahari di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu, Awang Ruslli Mohammad.

Sementara itu Awang Ruslli berkata, Data Perangkaan Koperasi Negeri Terengganu merekodkan sebanyak 839 buah koperasi berdaftar di negeri ini setakat 30 Jun tahun lalu dengan kekuatan anggota seramai 240,748 orang.

“Manakala pencapaian jumlah perolehan adalah sebanyak RM621 juta,” ujarnya.