Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
KUALA TERENGGANU, 1 April - Satu Bengkel Hala Tuju Pembangunan Perumahan Negeri Terengganu telah diadakan selama dua hari bermula hari ini bertujuan menyelesaikan masalah perumahan dan menjadikan Terengganu mesra pemaju.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata selain itu kerajaan negeri berhasrat menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) kepada rakyat Terengganu yang layak.
Katanya, melalui bengkel itu, pihaknya juga boleh membuat analisa situasi, menambahbaik Dasar Perumahan Rumah Mesra Rakyat (RMR RAHMAN), Merangka Strategi, Pelan Tindakan dan Sasaran Unit Perumahan Sepanjang Tahun 2023 hingga 2028 serta Pelan Strategik Perumahan Terengganu.
"Setiap slot bengkel ini di harap dapat mencapai objektif dalam penambahbaikan dasar perumahan negeri Terengganu, penambahbaikan rekabentuk Rumah Mampu Milik (RMM), penambahbaikan proses dalam kelulusan dan juga pelaksanaan projek pembangunan perumahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Pembentangan Kertas Kerja Hala Tuju Pembangunan Perumahan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Penolong Setiuasaha Kerajaan Negeri (Perumahan) Tengku Chik Abu Bakar Tengku Ibrahim dan Timbalan Pengarah Centre of Excellent (CoE) PITAS2030, Zulhilmi Abd Rahman.
Justeru itu, Wan Sukairi mengharapkan agar bengkel berkenaan dapat memberi suatu impak dan menemui jalan penyelesaian dalam menjadikan perumahan di Terengganu efektif serta produktif kepada rakyat negeri itu.
Untuk rekod kerajaan negeri telah mengadakan usahasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang berpengalaman luas dalam pembinaan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh Malaysia.
Pembinaan RMR RAHMAN ini akan mendapat subsidi daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) sebanyak RM20,000 bagi setiap unit rumah yang akan dibina.
Kos yang akan ditanggung oleh pemohon hanya berjumlah RM55,000 dengan bayaran balik bulanan RM286.00 sebulan selama 15 tahun.
Pembiayaan ini adalah pembiayaan tanpa faedah di mana penawaran dan kutipan balik pembiayaan akan diuruskan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan RMM di Terengganu.