Jalur Gemilang
Berita :
Beruang matahari berkeliaran, penduduk Taman Selesa Dungun cemas
Beruang matahari berkeliaran, penduduk Taman Selesa Dungun cemas
Muhammad Amiruddin Zamri
2 jam yang lepas
36

DUNGUN, 6 Oktober – Penduduk Taman Selesa, Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, Terengganu, meminta pihak berkaitan mengambil tindakan segera bagi menangkap seekor beruang matahari yang dikesan berkeliaran di kawasan kediaman mereka sejak seminggu lalu.

Kehadiran haiwan liar berkenaan menimbulkan kebimbangan penduduk, khususnya membabitkan keselamatan keluarga dan anak-anak, selepas kelibatnya yang sebelum ini hanya dikesan di sekitar kawasan kebun berhampiran kini dilihat memasuki kawasan perkarangan rumah.

Dalam kejadian pada petang Sabtu lalu, beruang matahari itu dipercayai memasuki kawasan kediaman bagi mencari makanan.

Keadaan tersebut menyebabkan penduduk lebih berwaspada dan mengehadkan aktiviti di luar rumah, terutama pada waktu petang dan malam.

Seorang penduduk, Mohd Shamsudin Mohd Zain, berkata kehadiran beruang berkenaan menyebabkan beliau berasa takut untuk berada di luar rumah seperti kebiasaannya.

“Mula-mula tengok memang kita takutlah, pasal beruang. Kalau kucing lain, ini beruang. 

"Biasanya pukul lapan, sembilan atau sepuluh malam saya duduk luar, tetapi bila dah tahu ada beruang, takutlah nak keluar," katanya.

Seorang lagi penduduk, Azli Hasri Alias menambah bahawa kebimbangan turut menyebabkan ibu bapa menasihati anak-anak supaya tidak keluar rumah walaupun pada waktu siang.

“Waktu siang pun, tak kira malam sekalipun, terutama kawasan gelap, kita terpaksa nasihat anak-anak supaya tidak keluar. 

"Kita bimbang sebab beruang ini kita tidak sedar, tiba-tiba datang dari belakang," katanya.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Daerah Dungun telah mengambil maklum perkara berkenaan dengan menjalankan siasatan serta membuat pemantauan dan kawalan di sekitar kawasan yang dilaporkan.

Penduduk turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, tidak mendekati atau cuba menangkap haiwan berkenaan, serta segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya terserempak dengan beruang tersebut.

Kehadiran beruang matahari berkenaan dipercayai berkait dengan kawasan habitat dan kebun berhampiran, namun siasatan pihak berkuasa masih dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk serta tindakan selanjutnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan