Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Terima RM17.381 Juta Laksana 20 Projek Pemerkasaan Agromakanan
Terengganu Terima RM17.381 Juta Laksana 20 Projek Pemerkasaan Agromakanan
Hidayah Azlin
1 jam yang lepas
51

KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Kerajaan Negeri Terengganu menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas sokongan berterusan melalui penyaluran peruntukan bagi menjayakan sektor agromakanan di negeri ini.

Bagi tahun 2026, Terengganu telah diperuntukkan sebanyak RM17.381 juta bagi melaksanakan 20 projek di bawah Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN). Peruntukan ini meneruskan kesinambungan pembiayaan tahun-tahun terdahulu, iaitu RM10.06 juta bagi 12 projek pada 2024 dan RM18.884 juta bagi 21 projek pada 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, suntikan dana tersebut merangkumi seluruh subsektor utama meliputi tanaman, perikanan, penternakan serta industri asas tani.

"Peruntukan ini amat penting dalam usaha memperkasakan sektor pertanian tempatan sekali gus merealisasikan sasaran menjadikan Terengganu sebagai Lembah Makanan Negara. Kerajaan Negeri komited memastikan setiap projek PPAN dilaksanakan dengan cemerlang mengikut perancangan," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada Menteri KPKM, Dato’ Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha KPKM, Dato’ Seri Isham Ishak, serta seluruh warga kerja kementerian atas kelulusan dan kepercayaan yang diberikan.

Mengulas mengenai kecekapan pengurusan dana, Dr. Azman menjelaskan bahawa kejayaan Terengganu memperoleh peruntukan secara berterusan adalah hasil perancangan yang jelas, telus, serta rekod pelaksanaan projek yang lancar.

‘’Dalam mekanisme PPAN, Kerajaan Negeri bertindak mengemukakan perancangan strategik, manakala kelulusan dana dan pemantauan pelaksanaan projek dijalankan sepenuhnya oleh KPKM.’’ Ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga pertanian negeri supaya kekal berdisiplin dan meningkatkan kecekapan kerja bagi memastikan kesemua projek yang diluluskan bagi tahun 2026 dapat disiapkan sepenuhnya dalam tempoh tahun semasa.

"Pengurusan yang tersusun amat penting bagi mengekalkan rekod pencapaian cemerlang yang telah kita bina pada tahun-tahun sebelum ini," katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan