• 08 Nov 2024 | 06 Jamadil Awal 1446

Bina Rumah Mangsa Banjir, PRIHATIN NGO Terbaik

KUALA NERUS, 31 Mac – Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu menerima Anugerah NGO Baru Terbaik atas jasa membina rumah kepada beberapa keluarga yang terlibat dengan bencana banjir.

Pengerusinya, Asmawi Mukhtar berkata anugerah itu adalah hasil daripada sumbangan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam setiap kerja amal.

Katanya, penghargaan itu juga merupakan suntikan semangat pihaknya dalam membantu mereka yang memerlukan untuk misi akan datang.

“Anugerah ini bukan bermakna kita yang terbaik namun memberi semangat untuk kami menjadi sebuah ngo yang lebih komited di masa yang mendatang.

“Untuk makluman, sebanyak lapan buah rumah telah dibina oleh persatuan prihatin bagi mereka yang terlibat dengan bencana banjir di Pahang dan Terengganu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Townhall NGO Terengganu bertempat di Dewan Al-Wathiqu Billah, Bandar Kuala Nerus di sini semalam.

Tambah Asmawi, sambutan dari sudut bantuan juga amat menggalakkan apabila pelbagai NGO terlibat sama dalam misi membina rumah untuk mangsa banjir setiap kali diperlukan.

Beliau berharap semoga dengan usaha yang ditunjukkan itu mampu menjadi perintis kepada anak-anak muda untuk sama-sama melakukan misi sedemikian.

“Semoga semua jenis bantuan dan sokongan dari semua pihak, akan mendapat keberkatan dari Allah S.W.T,” ujarnya.

 


Tag: