KUALA TERENGGANU, 23 November - Barisan Nasional (BN) dijangka akan mengalami kekalahan teruk kepada PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini.
Ketua Jabatan Pengurusan Strategik Dan Advokasi Dasar TSIS, Eikhwan Ali berkata, sejumlah besar iaitu 63 peratus responden berpendapat demikian berdasarkan kaji selidik yang dijalankan pihaknya.
"Kemungkinan kekalahan UMNO-BN ini juga amat berasas jika dibandingkan dengan beberapa dapatan lain dalam kaji selidik ini. Antaranya ialah, hanya 21 peratus responden yang berpuas hati berbanding 62 peratus yang tidak berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
"Dapatan ini dilihat berwibawa kerana selari dengan dapatan kaji selidik Merdeka Center ke atas 1,220 responden seluruh negara dari 4 Oktober ke 24 Oktober yang menunjukkan tahap ketidakpuasan hati rakyat dengan prestasi Anwar sudah naik menjadi 43 peratus," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, pada 18 November lalu, PAS menamakan Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr. Sam) sebagai calonnya manakala UMNO/BN pula menamakan calon lain untuk mewakilinya iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
"Walaupun mungkin dengan menamakan calon langsung daripada bekas pegawai tinggi kerajaan ini ada kelebihannya tersediri, namun berdasarkan kaji selidik ini, UMNO-BN harus sedar bahawa majoriti pengundi mahukan calon yang aktif dalam parti serta dekat dan selalu bersama mereka.
"Tindakan PAS/PN memilih Ahmad Samsuri sebagai calon pula dilihat lebih tepat dengan kehendak majoriti pengundi tambahan pula Menteri Besar Terengganu ini diakui mempunyai keperibadian yang baik dan suka menyantuni semua pihak sama ada kawan mahupun lawan," katanya.
Sebanyak 68 peratus responden bersetuju calon yang dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman perlu terdiri daripada muka baharu yang aktif dalam parti dan berpendidikan tinggi.
"Pada 29 Oktober hingga 17 November lalu, satu kaji selidik bertajuk 'Kecenderungan Pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman' telah dilakukan menerusi temu bual secara dalam talian dan secara tatap muka.
"Kaji selidik yang menggunakan teknik persampelan rawak berstrata untuk pemilihan responden ini melibatkan seramai 1,356 pengundi berdaftar bagi Parlimen Kemaman," ujar beliau.
Mengulas mengenai kekalahan teruk UMNO-BN di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan peringkat negeri baru-baru ini, beliau memaklumkan, 53 peratus responden berpendapat bahawa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah puncanya.
"Diikuti 27 peratus responden berpendapat Datuk Seri Ahmad Said di mana responden berpendapat kedua-dua mereka perlu ditukar," katanya.