Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
'Bocey' Teruja Candat Sotong Di Terengganu
Oleh : Adli Mohamad
KUALA NERUS, 30 April- Kumpulan pelawak tanah air, Bocey teruja dapat menyertai aktiviti mencandat sotong di perairan Terengganu.
Seorang ahli kumpulan itu, Mohd Nasir Hamzah atau Achey berkata, aktiviti mencandat sotong amat menarik dan mampu menaikkan sektor pelancongan di Terengganu.
"Alhamdulillah saya dapat bersama rakan-rakan yang lain dan juga tekong dapat menaikkan 30 kilogram (kg) sotong yang saiznya sebesar lengan saya.
"Kami juga mendapat ikan sebanyak 30 kg, dan antara ikan yang istimewa kita dapat adalah ikan Yu Perjam,"katanya.
Pelawak itu berkata demikian ketika ditemui media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Jeti Seberang Takir, semalam.
Achey juga berhasrat untuk kembali lagi dan tidak akan melupakan pengalaman menyertai aktiviti laut itu.
Sementara Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan yang dikenali sebagai Abam Bocey memberitahu tujuan utama menyertai aktiviti itu kerana mahu menenangkan diri dan itu adalah pengalaman kali pertama mencandat sotong menaiki bot di tengah lautan.
"Ingin lari dari kesibukan kota, jadi datang nak candat sotong nak belajar suatu perkara yang baru.
"Ianya bukan senang, menuntut kepada kesabaran. Nampak macam senang, sebenarnya sukar, kerana sotong yang terkena pada umpan pada mata kail adakalanya tiada tindak balas," jelasnya.
Menurut Abam, dia juga tertarik untuk memaparkan aktiviti candat sotong dalam filem terbarunya dan mahu memilih Terengganu sebagai lokasi penggambaran kerana memiliki keindahannnya yang tersendiri.
Bagi Syed Ali Mubarak Syed Nohd Ridzuan yang dikenali sebagai Putih Maharajalawak Mega pula menyifatkan aktiviti mencandat itu satu pengalaman yang luar biasa baginya yang terkenal dengan jolokan 'kaki pancing'.
"Benda candat sotong ini bukan mudah, kalau tak candat maka tak naik sotong.
" Jika di pasar dijual dengan harga RM28 sekilogram sekalipun jangan minta tawar, susah nak dapat, "katanya.
Ali Putih yang juga adik kepada Abam menjelaskan, dia sangat gembira kerana mendapat pengalaman berharga berada di Terengganu, negeri yang terkenal dengan kegiatan nelayan serta amat sinonim dengan aktiviti mencandat sotong.
"Kami juga mengakui orang Terengganu baik-baik dan mesra,"katanya.
Ketiga-tiga mereka turut berterima kasih di atas layanan baik rakyat Terengganu yang ditemui mereka selain sempat melayani peminat yang mengambil kesempatan bergambar kenangan.