Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Bola Sepak Erat Ukhwah Pemuda, MPKK
Oleh: Abd Muhaimin
SETIU - Ukhwah pemuda dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Banggol Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri semakin erat hasil penganjuran Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah Kampung Banggol yang melibatkan 12 pasukan dari kalangan belia.
Pengerusi MPKK Kampung Banggol, Zulkefili Che Esa berkata, penganjuran bola sepak tujuh sebelah di Padang Bola Kampung Banggol, di sini merupakan langkah utama kita bagi merapatkan golongan belia dan juga ahli jawatankuasa MPKK.
"Saya cukup puas hati dengan penganjuran seumpama ini yang mana kita dapat melihat golongan belia menjadi lebih akrab bersama jawatankuasa MPKK Kampung Banggol sekali gus dapat mengamalkan budaya hidup yang sihat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah di Padang Bola Kampung Banggol, baru-baru ini (24 Ogos).
Hadir sama, Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir, Pegawai Khas Penyelaras DUN Permaisuri, Arman Nulamir Ab Wahab, Pengarah JPRD Wahab Jusoh dan semua jawatankuasa MPKK Kampung Banggol.
Sebelum itu, Shaharizukirnain yang turut hadir memberi sokongan kepada peserta program juga berbangga dengan kejayaan penganjuran julung kali berkenaan yang dilihat menjadi asas utama ke arah gaya hidup yang cerdas dan sihat.
"Syabas dan tahniah kepada MPKK dengan penganjuran perlawanan seumpama ini. Islam tidak mengharamkan aktiviti bersukan asalkan ianya menepati tuntutan syariah, ahli sukan boleh menjadi contoh melalui sukan yang tidak melalaikan dan pemakaian yang menutup aurat. Kita juga akan diberi ganjaran pahala apabila ahli sukan yang lain mencontohi kita dalam menjaga aurat dan solat," kata beliau lagi.