Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
KUALA TERENGGANU, 7 Mac- Selepas Liverpool dan Johor DT, Pasukan Hoki Terengganu (THT) pula memeriahkan minggu 'pesta gol' apabila meratah UITM HA-KPT (UITM) 10-0 dalam perlawanan Liga Hoki Malaysia (MHL), hari ini.
Beraksi di Stadium Hoki Batu Buruk yang terkenal sebagai kubu THT, anak-anak buah Seo Jongho tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan.
Seawal minit ke-8, Jang Junghyun menjaringkan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti.
Lima minit berselang, THT melebarkan kedudukan kepada 2-0 dengan gol dijaringkan Ismail Abu, juga menerusi pukulan sudut penalti.
Memasuki minit ke-25, pelawat sekali lagi bolos melalui pukulan sudut penalti, kali ini Jang merekodkan gol keduanya dalam perlawanan ini.
Tiga minit kemudian, Ismail yang menerima umpanan Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran mudah melakukan kuisan untuk gol keempat tuan rumah.
THT mendahului 4-0 sehingga separuh masa pertama ditamatkan.
Memasuki babak kedua, UITM terus longlai apabila bolos buat kali kelima dengan Muhammad Akhimullah Anuar Esook menjaringkan gol melalui pukulan deras ke gawang lawan.
Jang kemudian meneruskan pesta gol dengan meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44 dan minit ke-50 untuk menjarakkan mata skor kepada 7-0.
Belum sempat UITM mengatur langkah, THT sekali lagi merobek gawang dengan jaringan kelapan oleh Faizal Saari seminit kemudian.
THT terus garang dengan jaringan gol kesembilan daripada Faizal (minit ke-57) dan Ismail, seminit sebelum perlawanan ditamatkan.
Kemenangan besar dengan 10 jaringan tanpa balas itu mengekalkan THT di tahta liga MHL dengan 34 mata.