'Kata Khalayak Ramai, Kenapa Tertutup Pula?'

KUALA TERENGGANU, 27 Disember- Pelaksanaan hukuman sebat syariah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini mengundang rasa kurang puas hati sebahagian kecil rakyat Terengganu yang hadir hari ini apabila tidak dapat melihat secara langsung ia dijalankan, sebaliknya dimaklumkan hanya sekitar 70 individu dipilih Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu untuk menyaksikannya.

Perkara itu bagaimanapun dijelaskan Timbalan Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Muhammad Hariz Md Yusoff yang menyatakan bahawa pemilihan lokasi hukuman sebat serta proses dilaksanakan sebegitu bagi mematuhi syarat keselamatan dan kesesuaian persekitaran.

"Dalam konteks perundangan negara kita ini, kita percaya bahawa kita hidup dalam masyarakat majmuk terdiri daripada golongan Muslim dan bukan Muslim.

"Dalam keadaaan ini, kita ingin menjaga haibah (kewibawaan) ataupun kehormatan agama Islam itu sendiri, maka ia dilakukan dalam keadaan tertutup tetapi melibatkan khalayak ramai yang mana orang-orang tersebut ditentukan oleh pihak berkuasa dan kami difahamkan pihak berkuasa ialah Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

"(Keadaan) Ini mungkin satu permulaan, kemungkinan pada masa hadapan lebih banyak prosesnya sebab hukuman sebatan khalayak ramai ini merupakan kali pertama dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas pelaksanaan hukuman tersebut, hari ini.

Jelasnya, pemilihan lokasi itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sebatan di Luar Penjara Bagi Pesalah Syariah yang digubal secara bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Kementerian Kesihatan Malaysia, dan Jabatan Penjara Malaysia pada tahun 2023 (melalui Arahan Amalan No 11 Tahun 2023).

Para jemaah masjid menunggu di perkarangan Masjid Al-Muktafi Billah Shah selepas solat Jumaat untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat khalayak ramai.

Selain itu, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November 2024 dan Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu pada 16 Disember 2024 telah dibuat dengan mengambil kira semua aspek seperti kesalahan berulang kali oleh pesalah dan bagi memastikan hukuman dijalankan dengan adil, berhemah, dan tidak bercanggah dengan prinsip Islam serta hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Pelaksanaan ini mencerminkan ketelusan proses kehakiman, sekaligus membuktikan bahawa ia bukan sahaja mengikut kehendak undang-undang tetapi juga menepati nilai-nilai murni  keadilan Islam yang menitikberatkan ihsan dan kesejahteraan masyarakat," ujarnya.

 


Tag: