Hukuman Sebat Dikhalayak Ramai Selesai Dilaksanakan

KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Individu pertama dijatuhi hukuman sebat dikhalayak ramai, Mohd Affendi Awang, 42, tiba di Masjid Al-Muktafi Billah Shah untuk menjalani hukuman enam sebatan pada jam 2.29 petang.

Tertuduh tiba menaiki kenderaan Penjara Marang, diiringi dua kereta peronda Penjara, dikerumuni pihak media dan orang ramai.

Tertuduh yang berpakaian lokap berwarna merah dan berpelitup muka dibawa masuk ke dewan masjid oleh pegawai penjara Marang.

Difahamkan, pegawai kesihatan melakukan pemeriksaan keadaan tertuduh sebelum hukuman sebatan dilaksanakan.

Tertuduh dibawa keluar dari dewan pada jam 3.01 petang dan dibawa keluar dari masjid diiringi kereta peronda penjara.

Lebih 100 jemaah masjid yang siap menunaikan solat Jumaat menunggu sehingga hukuman selesai dilaksanakan bagi melihat tertuduh dari jarak dekat.

Terdahulu, tukang rumah berasal dari Kerteh itu dijatuhkan hukuman mengaku salah berkhalwat kali ketiga dengan seorang wanita berusia 52 tahun di hadapan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail dalam prosiding pada 20 November lalu.

Hukuman itu diputuskan mahkamah selepas tertuduh, Mohd. Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Selain enam sebatan, tertuduh juga dihukum denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: