Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Bukit Maras Terengganu Bakal Jadi Tumpuan Dunia
Bukit Maras bakal menjadi tumpuan dunia. Foto - Syaiful Mustafa |
Pengendali acara, Anuar Ngah berkata, acara itu bakal menghimpunkan kira kira 70 peserta dari Thailand, Kanada, Singapura, Sepanyol, USA, Perancis, Iran, Indonesia, Filipina, Jerman dan Malaysia sebagai tuan rumah.
Katanya, acara itu bertujuan memperkenalkan sukan luncur udara atau 'paragliding' kepada orang ramai disamping mempromosikan Bukit Maras sebagai sebuah tapak luncur udara terkenal di rantau ini.
Sehubungan dengan itu, pihak penganjur menjemput orang ramai khususnya dari Kuala Nerus dan Kuala Terengganu supaya mengambil peluang untuk melihat sendiri pertunjukkan luncur udara atau 'paragliding'.
"Ia julung kalinya diadakan di Bukit Maras melibatkan jumlah peserta yang besar. Di samping itu, persembahan sampingan seperti silat gayung, badut dan cabutan bertuah turut diadakan bagi memeriahkan acara.
"Orang ramai juga diberi peluang merasai pengalaman terbang bebas seperti burung melalui slot tandem paragliding dengan harga promosi RM150 bersama dengan pilot profesional berdurasi antara 10 hingga 15 minit," katanya kepada media.
Beliau berkata, salinan video juga akan diberikan secara percuma sebagai kenang-kenangan.
Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat dapat menjadikan acara itu sebagai satu produk pelancongan sukan atau ‘sport tourism’ dan diadakan pada skala lebih besar seterusnya menjadi acara tahunan.
"Sukan paragliding amat diminati ramai terutamanya di Eropah dan terdapat lebih 500,000 pilot paragliding di seluruh dunia dan mereka gemar melancong untuk terbang di tempat-tempat baharu.
"Pada ketinggian 329 meter dari aras paras laut, mempunyai permandangan cantik dengan keindahan flora dan faunanya, Bukit Maras berpotensi besar untuk menjadi popular sebagai satu destinasi sukan paragliding kerana keunikannya yang tiada di tempat-tempat lain," katanya.
SUMBER: SINAR HARIAN (MOHD AZLIM ZAINURY)