Berita :
Cabutan Bertuah Boleh Jadi Haram Jika Mengandungi Unsur Perjudian, Kata Mufti Terengganu
Cabutan Bertuah Boleh Jadi Haram Jika Mengandungi Unsur Perjudian, Kata Mufti Terengganu
Mastura Jamal Din
6 jam yang lepas
173

KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Penyertaan dalam program cabutan bertuah boleh bertukar menjadi haram sekiranya pelaksanaannya mengandungi unsur perjudian, penipuan atau eksploitasi terhadap pengguna, kata Mufti Terengganu Profesor Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar.

Beliau berkata hukum asal menyertai cabutan bertuah bukanlah haram secara mutlak, sebaliknya bergantung kepada kaedah pelaksanaan yang perlu mematuhi prinsip syariah.

Menurutnya, sekiranya peserta diwajibkan membayar yuran tambahan, membeli kupon khas atau menanggung kos tertentu semata-mata untuk melayakkan diri memenangi hadiah, ia berpotensi mengandungi unsur perjudian (maysir) yang dilarang dalam Islam.

"Cabutan bertuah hendaklah bebas daripada unsur perjudian, ketidakpastian melampau (gharar), penipuan (ghish), eksploitasi pengguna serta pengambilan harta secara batil.

"Perkara sama turut berlaku sekiranya harga sesuatu produk dinaikkan secara tidak munasabah oleh pihak penganjur bagi membiayai hadiah yang ditawarkan kepada peserta," katanya dalam surat rasmi yang dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan orang ramai berhubung trend penganjuran cabutan bertuah, termasuk melalui platform digital.

Beliau berkata amalan itu hanya diharuskan sekiranya penyertaan tidak melibatkan sebarang bayaran tambahan selain harga produk atau perkhidmatan yang dijual kekal pada harga pasaran sebenar.

Katanya, pembelian produk juga tidak boleh dijadikan tujuan utama semata-mata untuk memenangi hadiah, manakala sumber dana bagi penyediaan hadiah hendaklah datang daripada sumber yang sah.

"Semua terma dan syarat penyertaan perlu dinyatakan secara jelas, telus dan adil bagi mengelakkan sebarang keraguan dalam kalangan pengguna.

"Semua program cabutan bertuah, khususnya yang melibatkan promosi digital dan pemasaran semasa, perlu dinilai berdasarkan struktur pelaksanaannya, sumber pembiayaan hadiah serta syarat penyertaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan garis panduan khusus mengenai pelaksanaan cabutan bertuah patuh syariah perlu diperluaskan kepada masyarakat dan penganjur bagi memastikan aktiviti promosi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Sebagai panduan, Jabatan Mufti Negeri Terengganu turut merujuk kepada Garis Panduan Berasaskan Hadiah yang diperakukan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-84.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya meneliti syarat penyertaan sebelum menyertai sebarang tawaran cabutan bertuah agar tidak terjebak dengan amalan yang bercanggah dengan syariah.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan