Cacat Penglihatan Bukan Penghalang Untuk Bersaing
Tidak ada manusia yang dijadikan sempurna - Ustaz Wan Sukairi Foto - Solahuddin Al Idrus |
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, setiap apa yang Allah jadikan ada hikmahnya dan tidak semua manusia itu sempurna.
“Setiap kelebihan yang Allah berikan ada kekurangan padanya dan setiap kekurangan yang Allah Taala berikan pasti ada kelebihan.
“Kerana itu tidak ada manusia yang sempurna, mesti ada yang lebih dan ada yang kurang dalam setiap seseorang itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kem Jati Diri Persatuan Cacat Penglihatan Terengganu di Kem Bukit Kolam, Kuala Berang pada hari ini Isnin, 24 September.
Oleh itu beliau mengajak semua golongan yang cacat penglihatan agar tidak berasa lemah dan rendah diri serta menjadikan kekurangan itu suatu cabaran untuk meningkatkan prestasi dan semangat.
“Bukan sahaja untuk meneruskan kehidupan tetapi untuk menjadi orang yang paling cemerlang semaksimum mungkin bukan sahaja kehidupan di dunia bahkan hidup di hari akhirat.
“Banyak contoh-contoh (orang cacat penglihatan) orang yang berjaya (antaranya Allahyarham) Profesor Dr Ismail Salleh seorang ilmuan yang terkenal dan cendikiawan Islam,” jelasnya.
Justeru itu beliau berbesar hati dengan program yang dianjurkan oleh Persatuan Cacat Penglihatan negeri Terengganu.
“Saya bagi pihak kerajaan negeri Terengganu sangat mengalu-alukan dan bekerjasama rapat dengan NGO dan Orang Kurang Upaya sepertimana persatuan ini,” jelasnya.