'Caj Semula Bateri', Misi Lebih Bertenaga - Dr Azman

Dr Azman Ibrahim (terlantar) menerima kunjungan sahabat handai di KTS.

KUALA TERENGGANU - Fasa rehat seketika bagi penyembuhan dan pemulihan ibarat proses caj semula bateri untuk kembali ke medan dengan lebih bertenaga selepas ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, beliau merasai sendiri pengalaman melalui proses bius spinal yang menjadikan seseorang lebih memahami keadaan seorang pesakit stroke yang terlantar.

"Sebelum ini bila melawat pesakit stroke, ada juga terdetik, tak kan sikit pun tak mampu nak gerakkan kaki.

"Namun, apabila kesan bius spinal menjalar sepenuhnya, anggota kita dari pinggang ke bawah hanya mampu dipandang sahaja.

"Sebatang jari kaki pun tak mampu digerakkan apatah lagi nak angkat kaki.

"Anggota tubuh bahagian bawah terasa berat dan kita kehilangan seluruh upaya.

"Beginilah yang dilalui oleh pesakit stroke yang mengalami kerosakan saraf," ujarnya.

Menurut Dr Azman Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, pembedahan untuk menyambung 'ankles tendon' kaki kiri yang putus sepenuhnya mengambil masa lebih 2 jam.

"Doktor pakar bius bagi pilihan samada nak bius sepenuhnya (general anaesthesia), 'epidural' atau 'spinal'.

"Saya pilih yang paling ringkas iaitu spinal yang disuntik pada bahagian 'L Vertebrae'.

"Disebabkan kes ini sudah kronik lebih 100 hari, bahagian 'ankles tendon' yang putus sudah terbentuk ruang sekitar 5 cm.

"Proses pembedahan menjadi lebih rumit kerana semua bahagian labu betis perlu dibuka untuk membetulkan semula kedudukan tendon yang telah mengecut ke atas.

"Walau bagaimanapun, Alhamdulillah pembedahan berjaya," tambahnya.

Dalam perkembangan yang sama, kaki kiri beliau perlu 'immobilize' dalam tempoh 6 minggu dan perlu menjalani rawatan fisioterapi sebagai sebahagian proses pemulihan.

"Terima kasih semua kakitangan Kuala Terengganu Specialist (KTS) Hospital yang baik dan berdedikasi, Pakar Bius, Dr Khairudin, Pakar Orthopaedik, Dr Mohd Ros, Dr Termizy, Fisioterapi Maliki dan semua yang membantu serta mempermudahkan urusan.

"Terima kasih juga kepada semua sahabat dan kenalan yang sempat datang ziarah serta mendoakan," ujarnya.

Terdahulu, Dr Azman Ibrahim terpaksa menjalani pembedahan kaki setelah hampir 4 bulan bertahan akibat kecederaan tendon pada bahagian buku lali, baru-baru ini (19 September).

 

Tag: