Cendol 1957 Raih Jualan RM1,000 Sehari

MARANG, 30 Disember - Hanya dibuka secara 'suka-suka' di perkarangan rumah, di Kampung Sentol Patah di sini, kini Warung Cendol 1957 mula menjadi tarikan ribuan peminat sehingga mampu meraih jualan RM1,000 sehari pada musim tertentu.

Ia menjadi tarikan orang ramai selepas makanan itu divariasikan dengan pelbagai rasa, cendol durian, cendol aiskrim dan cendol nangka.

Pemilik warung itu, Mohd Khairul Nizam Roslam, 35, berkata dia mula mengusahakan perniagaan cendol yang diwarisi dari keluarganya sejak 28 tahun lalu pada Ogos lalu.

"Cendol 1957 diberi nama bersempena lot tanah rumahnya dan digabungkan dengan cendol dan secara kebetulan sama dengan tahun kita mencapai kemerdekaan," katanya.

Beliau berkata ketika ditemubual Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Menurutnya lagi, walaupun berniaga secara santai di rumah, sambutan daripada pelanggan sangat menggalakkan lebih-lebih lagi ketika musim durian.

"Ketika musim durian, kita pernah meraih pendapatan lebih daripada RM1,000 sehari, dan pada cuti umum pula, kita juga menerima kunjungan dari penduduk luar negeri seperti Selangor, Perlis dan Pahang.

"Idea untuk membuka perniagaan cendol di rumah, adalah suasana lebih selesa dan santai, susun atur yang lebih mudah, serta yang paling penting dapat menjimatkan kos menyewa.

"Pekerja pula terdiri daripada ahli keluarga, dibantu oleh adik beradik manakala waktu operasi dibuka pada setiap hari kecuali jumaat bermula jam 12.00 tengah hari sehingga 6.00 petang," tambahnya lagi.

Orang ramai yang ingin mencuba boleh mencari lokasi kedai menggunakan aplikasi 'Maps' atau mengunjungi laman rasmi 'Facebook Cendol 1957'.


Tag: