• 14 Nov 2024 | 12 Jamadil Awal 1446

Che Adam Pegang Rekod Penderma Darah Pertama Tahun 2023

KUALA TERENGGANU, 1 Januari – “Saya ingin menjadi rakyat Malaysia pertama menderma darah untuk tahun 2023 dan akhirnya impian itu tercapai pada hari ini,” kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.

Beliau yang sudah 88 kali menderma darah sejak berusia 21 tahun telah menderma darah tepat pada pukul 8 pagi di Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

“Saya telah mendaftar secara atas talian dalam ‘Blood Bank Information System’ (BBIS) pada pukul 12.05 tengah malam tadi sebagai menyokong kempen menderma darah Kementerian Kesihatan Malaysia agar rakyat negara ini menjadikannya sebagai rutin amalan mereka.

“Semoga usaha kecil ini dapat membantu Unit Tabung Darah HSNZ memperbanyakkan stok bekalan darah untuk membantu ramai pesakit yang memerlukan seperti mereka yang kemalangan, talasemia, anemia dan wanita yang tumpah darah selepas bersalin,” katanya.

Che Adam berkata, akan menderma darah sekali dalam tempoh tiga bulan dan rutin itu dianggap sebagai amal jariah sebagai usaha menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan bantuan kecemasan.

"Saya diberikan kesihatan yang baik setakat ini dan bersyukur berpeluang memberikan bakti kepada mereka yang memerlukan darah kerana satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa dengan izin Allah.

“Derma tidak semestinya dari segi kewangan sahaja, kita boleh salurkan sumbangan mengikut kemampuan yang ada.Selain menyelamatkan nyawa orang lain, pada masa yang sama amalan ini juga baik untuk kesihatan,” katanya lagi.

Beliau juga berharap lebih ramai individu terutamanya generasi muda tampil menjadi penderma darah jika tidak berhalangan dan proses itu hanya mengambil masa sekitar 15 ke 20 minit bergantung situasi tubuh seseorang.

Sementara itu, rekod Che Adam sebagai rakyat Malaysia pertama yang menderma darah untuk tahun 2023 itu disahkan oleh Ketua Unit Transfusi Darah HSNZ, Dr. Muhaimin Kambali setelah membuat semakan di sistem BBIS yang mempunyai data dari seluruh negara.