COVID-19 : Terengganu Atur Strategi Rangsang Ekonomi Pelancongan
Ariffin Deraman. |
KEMAMAN, 14 Mac - Kerajaan Terengganu akan mengatur tiga strategi bagi merangsang industri pelancongan negeri ekoran penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di seluruh negara termasuk Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pakej rangsangan tersebut secara tidak langsung akan menampung kemerosotan pelancong dan ekonomi sejak kemunculan virus itu.
“Insya-Allah pakej ini akan dibentangkan kepada mesyuarat kerajaan negeri dalam masa terdekat untuk diluluskan.
“Kita fokuskan kepada pelancongan domestik dan insentif-insentif tertentu akan diberikan kepada penggiat-penggiat industri ini, ia bakal diumumkan kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Terengganu Negeri Pelancongan Berisiko Rendah COVID-19 di Resort World Kijal, di sini hari ini.
Demontrasi pemeriksaan COVID-19. |
Mengulas lanjut Ariffin memaklumkan, pantai-pantai dan pulau-pulau di Terengganu masih selamat untuk dikunjungi oleh pelancong.
Namun katanya, langkah keselamatan dan pencegahan tetap dikuatkuasakan dengan rapi di setiap hotel dan pusat-pusat penginapan.
“Saya telah mengarahkan pemilik-pemilik hotel di negeri Terengganu untuk menyediakan perkhidmatan saringan COVID-19 kepada semua pengunjung sebagai langkah pencegahan awal bagi menangani wabak berkenaan.
“Pemeriksaan itu adalah tapisan sampingan selepas saringan utama dijalankan di setiap pintu masuk utama negeri dan lapangan terbang,” jelasnya.
“Pemeriksaan itu adalah tapisan sampingan selepas saringan utama dijalankan di setiap pintu masuk utama negeri dan lapangan terbang,” jelasnya.
Terdahulu, Ariffin menegaskan, sebagai langkah berjaga-jaga, pihaknya juga akan mematuhi saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu segala aktiviti berskala besar ditangguhkan.
“Justeru, terdapat beberapa program besar, antaranya Terengganu Bike Week pada 27 hingga 29 Mac dan Conference on Digital Intelligence Technology (DIGIT) 2020 pada selasa hingga Khamis ini kita tangguhkan serta merta,” tambah beliau.