HULU TERENGGANU-Kegembiraan sekeluarga bercuti di atas rumah bot di Sungai Lasir, Tasik Kenyir, dekat sini, berakhir tragedi apabila seorang ahli keluarga mereka yang berusia 68 tahun maut, selepas bot dinaiki mereka terbalik, 10 pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa, Ali Ahmad yang juga pesara Jabatan Pertanian dan berasal dari Jalan Mutiara Rini, Skudai, Johor menaiki rumah bot bersama isteri dan ahli keluarganya.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata sebaik sampai di Sungai Lasir, mangsa menaiki sebuah bot kecil bersama enam lagi ahli keluarganya daripada rumah bot ke Air Terjun Lasir untuk mandi manda, sebelum bot kecil tersebut terbalik.
Katanya, berdasarkan laporan isteri mangsa, Noraini Mohamad, 61, selepas meninggalkan rumah bot itu pada jarak lebih 30 meter, tiba-tiba bot dinaiki suaminya terbalik menyebabkan semua penumpang terjatuh ke dalam air.
"Tujuh penumpang termasuk enam kanak-kanak dan pemandu bot sempat diselamatkan petugas rumah bot yang berada di kawasan berdekatan kecuali mangsa yang didapati telah lemas ,” ujarnya ketika dihubungi.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian ditemui oleh petugas rumah bot itu tidak jauh daripada lokasi dia terjatuh dan mayat mangsa dibawa ke Sungai Chemor sebelum dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
“Siasatan awal mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut,” ujar Mohd Adli.