'Bah' Gelombang Ketiga Landa Hulu Terengganu, Dua PPS Dibuka
KUALA TERENGGANU, 16 September – Mengambil tanggungjawab untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi dianggap sebagai salah satu daripada fardu kifayah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata perbuatan mendaftarkan diri untuk mengundi adalah salah satu daripada tanggungjawab Umat Islam, sama seperti fardu kifayah.
Menurut beliau lagi, bila menjadi seorang pengundi yang berdaftar, kita sebenarnya sedang menzahirkan perasaan sayang kepada negara dengan mengambil serius perihal tersebut.
“Anak-anak muda mesti peka dan cakna akan hari sambutan seperti Hari Malaysia, 16 September kerana ia mencerminkan sejauh mana kita sayang akan negara kita.
“Samalah juga halnya dengan daftar mengundi, itu manifestasi kita sayang dan ambil berat akan keadaan semasa negara kita.
“Daftar mengundi adalah fardu kifayah, dikira sebagai jihad untuk mempertahankan kedaulatan negara,”ujarnya ketika dihubungi, pagi tadi.
Terdahulu, Ahli Parlimen Marang merangkap Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Awang ada mengulas perihal kewajipan sebagai seorang muslim untuk menjadi pengundi (terlibat dalam politik).
Katanya ramai yang menganggap politik bukan satu kewajipan, kebanyakkannya menganggap fardu kifayah hanyalah sembahyang mayat semata-mata, sedangkan pada hakikatnya, memerintah negara juga termasuk dalam fardu kifayah.
“Mereka tidak sedar, fardu kifayah menjadi fardu ain kepada orang tertentu dan keadaan tertentu, dalam suasana kita pada hari ini, ianya sudah menjadi fardu ain.
“Kalau kita buka kitab feqah, kitab feqah mengatakan kalau jihad dalam suasana yang biasa adalah fardu kifayah, tapi kalau dalam keadaan darurat ia menjadi fardu ain. Dikira sebagai jihad itu,”ulasnya.
Dalam pada itu, Zuraida turut melahirkan harapan agar anak muda terutamanya wanita ambil cakna serta celik politik semasa.
Beliau yang juga merupakan Ketua Pengarah Ameerah Malaysia menyeru anak muda terutamanya Melayu-Islam untuk mendaftar sebagai pemilih kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) akan berlangsung tidak lama lagi.