Dana Khas Petroleum : 'Yang Didera Adalah Rakyat'

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - "Haruslah diingat, yang sebenarnya mengalami penderaan adalah rakyat, mereka telah menikmati sejak sekian lama," ujar Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika memberi penjelasan berhubung terimaan Dana Khas Petroleum yang berkurang pada tahun ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri Ru Rendang itu berkata, Terengganu hanya menerima bayaran dana khas (wang ehsan) berjumlah RM405 juta dari Kerajaan Persekutuan dalam tempoh Disember 2022 hingga September 2023 dengan enam kali pembayaran.  

Katanya, jumlah yang diterima itu adalah paling rendah berbanding dengan tahun sebelumnya sejak 2018 hingga 2022.

"Terimaan ini jauh daripada anggaran dana khas (wang Ehsan) dalam belanjawan tahun 2023 iaitu sebanyak RM1,524,928,690.

"Pembayaran itu dilakukan secara runcit iaitu kali pertama dibuat pada 30 Mac sebanyak RM50 juta, 18 Mei (RM100 juta) dan pada 14 Jun (RM50 juta).

"Pada 14 Jun juga, sebanyak RM109 juta diterima bagi tujuan pembayaran Projek Bekalan Air Kuala Terengganu Utara, seterusnya bayaran 1 Ogos (RM41 juta) dan 21 Ogos lalu (RM55 juta)," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hilmi Harun (PAS-Manir) yang mengemukakan soalan berkaitan berapakah jumlah bayaran dana khas (royalti) yang telah diterima oleh kerajaan negeri dalam tempoh Disember 2022 hingga September 2023 di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri memberitahu pada tahun 2022, Kerajaan Negeri hanya menerima hasil wang ehsan berjumlah RM1,393,896,335 daripada Kementerian Kewangan Malaysia. 

"Jumlah lima peratus hasil petroleum yang sepatutnya dibayar kepada Kerajaan Negeri oleh Petronas telah dibayar terus kepada Kementerian Kewangan Malaysia dan diperakaunkan di bawah Akaun Amanah Dana Khas Kerajaan Persekutuan Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957. 

"Akaun amanah tersebut dikawal selia oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan di bawah Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan," katanya menjawab soalan Khazan Che Mat (Bersatu-Seberang Takir) mengenai berapakah jumlah lima peratus hasil petroleum yang diterima oleh kerajaan negeri pada tahun 2022.

Sementara itu katanya, Kerajaan Negeri memandang kepada ruang untuk menambah baik dan meminda bayaran di bawah hasil cukai seperti cukai tanah, galian, parit dan tali air, hasil hutan, royalti dan cukai hiburan.

“Termasuk bayaran-bayaran di bawah hasil bukan cukai seperti premium tanah, premium perhutanan, lesen dan permit serta denda dan hukuman,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ir Saiful Azmi Suhaili (PAS-Kemasik) dan Zaharudin Zaid (PAS-Bukit Tunggal) berkenaan usaha dan perancangan kerajaan negeri dalam menjana pendapatan baharu negeri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap royalti petroleum.