lightning-solid
Berita :
Tragedi Meragut Anak, Pegawai Exco Terengganu Bantu Wah Tee Tun Bangkit Semula
Tragedi Meragut Anak, Pegawai Exco Terengganu Bantu Wah Tee Tun Bangkit Semula
Ahmad Zaeem Zainudin
4 jam yang lepas
86

KUALA TERENGGANU, 26 Julai – Kehilangan anak dalam kemalangan tragis, disusuli kemusnahan van yang menjadi punca pendapatan, meletakkan Wah Tee Tun dalam keadaan sukar untuk meneruskan kehidupan.

Namun, beliau tidak dibiarkan menghadapi ujian itu bersendirian apabila seorang pegawai Exco Terengganu tampil menggerakkan kutipan dana bagi membantunya kembali mencari rezeki.

Dalam kejadian pada 19 Mei lalu, anaknya, Wah Han Keong, terkorban manakala van yang digunakan Tee Tun untuk bekerja mengalami kerosakan menyeluruh dan tidak lagi boleh digunakan.

Pegawai Perhubungan Awam kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Cheng Siew Thing berkata, beliau diberikan tugas oleh Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah untuk menguruskan kutipan dana berkenaan.

Jelasnya, usaha itu turut dibantu Ahli Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Sallehudin Harun, yang ditugaskan membantu keluarga Tee Tun.

“Kami bekerjasama sebagai satu pasukan untuk memastikan usaha membantu Encik Wah Tee Tun dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Menurut Cheng, kempen itu pada awalnya menyasarkan RM30,000 dalam tempoh dua minggu bagi membeli sebuah van terpakai untuk Tee Tun.

Bagaimanapun katanya, keprihatinan masyarakat membolehkan sasaran tersebut dicapai hanya dalam tempoh tiga hari apabila kutipan mencecah RM31,753.02.

Tambah beliau, jumlah itu terus meningkat sehingga RM48,083.02 pada akhir kempen hasil sumbangan 216 penderma dari seluruh negara, termasuk Singapura, selain beberapa organisasi dan syarikat swasta.

“Antara penyumbang ialah organisasi dan syarikat swasta yang kami sendiri tidak pernah kenali sebelum ini.

“Ini menunjukkan kisah Encik Wah Tee Tun benar-benar menyentuh hati masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang,” katanya.

Cheng menjelaskan, keputusan membeli sebuah van berbanding menyerahkan wang tunai dibuat bagi menyediakan penyelesaian yang lebih berkekalan kepada Tee Tun.

“Sejak awal lagi, matlamat kami sangat jelas, iaitu membantu Encik Wah Tee Tun kembali mencari rezeki seperti sebelum ini, bukan sekadar memberikan bantuan sekali sahaja.

“Selepas van yang digunakannya untuk bekerja mengalami kerosakan menyeluruh, beliau kehilangan punca pendapatan selama lebih dua bulan.

“Pembelian van merupakan penyelesaian yang lebih mampan kerana membolehkan beliau kembali bekerja dan berdikari,” jelasnya.

Sementara itu, Wan Sukairi menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan usaha berkenaan.

“Alhamdulillah, sebuah van terpakai hasil sumbangan orang ramai telah diserahkan bagi membantu beliau mencari rezeki.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua penyumbang. Semoga setiap sumbangan yang diberikan menjadi amal jariah dan dibalas dengan sebaik-baik ganjaran oleh Allah SWT.

“Semoga bantuan ini mampu meringankan beban yang dipikul dan menjadi bukti bahawa ketika seseorang diuji, masih ramai yang sedia menghulurkan tangan,” katanya menerusi Facebook.

Menurut Cheng, kejayaan kempen itu membuktikan semangat kemanusiaan dan sikap saling membantu masih utuh dalam kalangan masyarakat.

“Walaupun berbeza bangsa, agama dan latar belakang, masyarakat Malaysia masih mempunyai rasa simpati, belas kasihan dan semangat saling membantu apabila melihat seseorang benar-benar memerlukan pertolongan.

“Hari ini mungkin Encik Wah Tee Tun yang sedang diuji. Esok lusa, mungkin kita pula yang memerlukan pertolongan orang lain,” katanya.

Penyerahan van itu bukan sekadar menggantikan sebuah kenderaan yang musnah, malah membuka ruang kepada Tee Tun untuk membina semula kehidupan selepas kehilangan anak dan punca pendapatannya.

Pada masa sama, usaha tersebut mencerminkan keharmonian masyarakat di Terengganu apabila kesusahan seseorang disantuni tanpa mengira kaum dan agama.


Artikel Berkaitan