KUALA TERENGGANU, 8 November – Kerajaan negeri kini berada dalam fasa akhir merangka Dasar Wanita Negeri Terengganu.
Dasar berkenaan akan menjadi panduan untuk melahirkan wanita berilmu yang mampu memacu keluarga, masyarakat dan pentadbiran negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, analisis semula dan persiapan sedang giat dijalankan bagi memastikan panduan tersebut bertepatan dengan Pelan Induk Strategi Terengganu Sejahtera (PITAS).
“Insya-Allah, perancangan dasar ini dilancarkan tahun hadapan sempena dengan Hari Saidina Aisyah pada hari Himpunan Wanita Terengganu.
“Dasar ini memperjuangkan tentang kebajikan dan bagaimana wanita berkelayakan dapat menjadi sebagai pembuat dasar dan orang penting dalam kerajaan pentadbiran. Bakat dan potensi wanita juga akan diketengahkan dan diperkembangkan supaya dapat berperanan dan membantu dalam pelbagai sektor dan agensi kerajaan.
“Kita mahu golongan wanita di Terengganu berilmu supaya menjadi benteng dan melalui dasar ini, seperti mempelbagaikan program berilmu. Fokus turut diberi kepada golongan ibu tunggal, anak-anak dan sebagainya dalam mencari kaedah dalam kita melestarikan pembangunan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Bulan Dakwah 2020, Bicara Dakwah Rasullulah “Fikh Keluarga Syurgawi di Kompleks Ibu Tunggal, Chendering kelmarin.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Mohd Fauzy Abdul Ghani dan Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Terengganu, Nasrul Hadi Saidin.
Mengulas lanjut tentang pelaksanaan dasar tersebut, beliau berkata, langkah dokumentasi dan pembukuan akan dibuat untuk disalurkan kepada pelbagai peringkat dan agensi kerajaan.
“Contohnya, penerangan dasar tersebut kepada pelbagai jabatan dan agensi seperti Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTs), Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) dan lain-lain lagi adalah penting supaya setiap lapisan masyarakat faham tentang hala tuju wanita di Terengganu,” ujarnya.