Dato' Dr Mohd Khairuddin Dilantik Bendahari Pemuda ICAPP

Dr Mohd Khairuddin (dua dari kanan) menyertai Persidangan ICAPP di Azerbaijan baru-baru ini.
Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 10 September - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilantik sebagai Bendahari Sayap Pemuda, Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia (PAPPA) Sesi 2019-2021 di Baku, Azerbaijan, 7 September lalu.

Beliau berkata, jawatan itu merupakan satu amanah yang berat dan tidak mampu dipikul seorang diri sekali gus memerlukan kerjasama dari semua pihak.

“Itu adalah amanah yang berat namun ia perlu digalas sebagai khidmat bakti kepada masyarakat dunia.

“Antara tindakan awal selepas saya dilantik ialah saya akan mewujudkan satu pasukan kecil yang boleh membantu melaksanakan tugas dengan pelbagai idea kerana tugasan yang berat ini tidak mampu digalas oleh saya sendirian.

“Mudah-mudahan saya dapat melaksanakan amanah ini dengan cara yang paling baik dan dapat diwarisi oleh orang terkemudian yang akan menggalas amanah itu selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
 
Suasana Pesidangan ICAPP di Azerbaijan.
Menurut beliau lagi, jawatan tersebut adalah amanah yang perlu ditunaikan bukannya satu pangkat kemuliaan yang perlu dibangga-banggakan.

Katanya, PAPPA atau 'International Conference of Asian Political Parties' (ICAPP) merupakan forum antarabangsa menghimpunkan parti-parti politik seluruh Asia sama ada yang menjadi kerajaan mahupun pembangkang.

"Ia diasaskan sejak tahun 1990 yang dipengerusikan oleh Speaker Parlimen Filipina, Jose de Venecia yang juga pengasas kepada program ini," jelasnya.


Tag: