KOTA KINABALU, 16 November – Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu mengadakan kunjung hormat ke Sabah Tourism Board (STB) bagi memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang kerjasama strategik dalam sektor pelancongan antara dua negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, berkata kunjungan itu menjadi platform penting untuk Terengganu menilai dan mempelajari kejayaan Sabah dalam membangunkan pelancongan berasaskan komuniti atau community-based tourism (CBT).
Katanya, Sabah kini mempunyai lebih 300 komuniti aktif yang mengurus dan mengembangkan produk pelancongan mereka sendiri melalui konsep CBT.
"Kejayaan tersebut menjadi model rujukan kepada Terengganu yang ketika ini memiliki 26 kelompok CBT di pelbagai lokasi seluruh negeri," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kunjung Hormat Delegasi Kerajaan Negeri Terengganu ke Sabah Tourism Board bertempat di Kota Kinabalu Sabah semalam.
Sesi tersebut disertai oleh wakil Sabah Tourism Board, Marketing Manager, Bobby Alex, Corporate Services Unit Manager, Suzan Chan dan Finance and Accounts Manager Puan Ernnie Chrnney Donatus.
Razali berkata delegasi tersebut turut berkunjung ke Mari-Mari Culture Village bagi melihat secara dekat pelbagai persembahan dan tinggalan budaya tradisional etnik di Sabah.
"Lawatan ini membolehkan kami meneliti cara pengurusan, penyampaian naratif budaya serta pengalaman interaktif yang ditawarkan.
"Jika di Terengganu, konsep sebegini dikenali sebagai kampung budaya, iaitu pusat yang menghimpunkan seni, warisan dan adat tradisional masyarakat setempat," ujarnya.
Beliau menambah perbandingan tersebut membuka ruang penambahbaikan kepada produk warisan negeri supaya lebih tersusun dan berimpak.
"Pertemuan ini dijangka membuka ruang kerjasama lebih luas antara Terengganu dan Sabah, khususnya dalam memperkukuh pelancongan komuniti dan mempromosikan produk tempatan," ujarnya.