Murliati bersama anak syurganya Siti Zulaikha |
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 2 Julai- Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itulah yang dialami Siti Zulaikha Mohd Zul Azri, 5, kanak-kanak comel yang disahkan sindrom down dan celebral palsy sejak lahir.
Ibunya, Murliati A. Bakar, 32, berkata doktor mengesahkan Zulaikha menghidap penyakit berkenaan selepas lima hari dilahirkan kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada susu khas dan lampin pakai buang bagi meneruskan hidup.
“Walaupun dilahirkan tidak seperti anak-anak normal, tetapi menjaga anak syurga, Siti Zulaikha amat mengujakan dan sentiasa memberi reaksi positif setiap apa yang diajar kepadanya.
"Dia sangat suka berkawan walaupun terlantar dan kalau di majlis orang ramai dia nampak seronok malah datuknya pun ajar juga dia bertatih… dia memang suka sangat, " katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima bantuan dari Tabung Darul Iman (TDI) di Kampung Baru, Kuala Abang, baru-baru ini.
Murliati turut melahirkan rasa terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri melalui TDI membantu anak syurganya dengan sumbangan berbentuk susu khas dan lampin pakai buang .
"Sumbangan itu memang sangat membantu, (apa lagi) sayapun menjaganya sepenuh masa," ujarnya yang sebelum ini bertugas sebagai guru tadika.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata kerajaan negeri menerusi TDI sentiasa berusaha membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga pesakit termasuk anak-anak syurga.
"Walaupun tabung berkenaan tidaklah mempunyai banyak sumber kewangan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik, bantuan tetap diteruskan," jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Adik Muhammad Ardani Mohd Suhaimi, setahun enam bulan yang menghadapi masalah penafasan turut menerima bantuan susu khas.
Menurut ayahnya, Mohd Suhaimi Abd Rahman, anaknya menggunakan mesin untuk bernafas akibat paru-paru lemah kesan daripada jangkitan kuman.
"Dengan bantuan susu secara bulanan ni, dapatlah meringankan perbelanjaan," katanya yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan untuk menjaga anak kecil tersebut.