• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Derma Darah Aktiviti Pembudayaan Belia

Hishamuddin (tengah) bersama Pengarah APM, Lt. Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman (kiri) dan Presiden Kelab Karyawan Kreatif, Zaid Salim 

Kerajaan negeri akan menjadikan program derma darah sebagai aktiviti berkala dan menjadi proses pembudayaan bagi golongan belia menuju Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, melalui proses derma darah, golongan belia boleh berkhidmat mengikut keupayaan masing-masing untuk golongan yang memerlukannya.

"Apabila kita memberi sumbangan darah kepada orang lain, sebagai penderma harus berbangga dengan kesihatan yang dikurniakan oleh Tuhan yang membolehkan menyertai program kecairan darah seperti hari ini.

"Para belia perlu menghayati bahawa menderma darah antara konsep ibadah dalam kehidupan yang mana jika dilakukan kita akan mendapat pahala,"katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata kepada pemberita di Kempen Derma Darah Belia Patriotik Merdeka Terengganu 2018 di TH Hotel, Kuala Nerus, semalam.


Kempen berkenaan merupakan anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah(HSNZ) dengan kerjasama TH Hotel & Convention, Kelab Karyawan Kreatif, Majlis Belia Terengganu dan TAC Outdoor.

Jelas Hishamuddin lagi, kempen derma darah memberi peluang untuk orang ramai menghayati ruang kedua dalam kehidupan dan berharap lebih banyak agensi dan jabatan menganjur kempen ini bagi memastikan bekalan tabung darah mencukupi.

Sementara itu, Pengarah APM Terengganu, Lt. Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, program derma darah merupakan aktiviti yang wajib dilakukan oleh pihaknya setiap tahun sebagai salah satu KPI jabatan mereka.

"Kebiasaannya kami buat empat kali dalam setahun iaitu awal tahun, hari belia, bulan patriotik dan musim bencana dengan libatkan semua kakitangan dan pegawai di semua daerah.

"Yang paling penting kesedaran setiap orang untuk membantu mereka diluar sana yang memerlukan bekalan darah termasuk memastikan simpanan di tabung darah HSNZ sentiasa mencukupi,"katanya.




Tag: