Dewan Perniagaan Cina Terengganu Bantu Mangsa Banjir

KEMAMAN, 21 Disember - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu (TCCCI) tidak ketinggalan menyalurkan sumbangan melalui Pejabat Ahli Parlimen Kemaman kepada mereka yang terbeban akibat bencana banjir baru-baru ini.

Naib Presidennya, Vincent Ng Thian Hock memuji kesabaran yang ada pada mangsa banjir walaupun beberapa kali diuji dengan musibah banjir tahun ini. 

"Kami amat menyanjung ketabahan dan kesabaran tuan puan dalam menghadapi bencana yang menimpa kalian pada kali ini. 

"Kami memahami walaupun diuji dengan kehilangan harta benda dan kerosakkan tempat tinggal bahkan mungkin kenangan yang berharga adalah amat sukar untuk dilalui. 

"Namun ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan. Kami amat prihatin dan dengan semangat 'Ganu Kite', kami gabungan tiga Dewan Perniagaan Negeri Terengganu tidak berdiam diri. 

"Dengan usaha yang kecil ini kami bergerak dan bersedia untuk turut membantu mereka yang ditimpa bencana samada dalam bentuk kebendaan dan sokongan moral," katanya.

Vincent berkata demikian di hadapan seramai 694 Ketua Isi Rumah di Kampung Telok Kalong sempena Majlis Agihan Sumbangan Barangan Kepada Mangsa Banjir yang diadakan di Dewan Tok Guru, Darul Iman Training Centre (DITC), Kemaman semalam.

Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Haji Hazri Jusoh mewakili Ahli Parlimen Kemaman dan ADUN Kijal, Datuk Razali Idris. 

Untuk rekod, beberapa syarikat lain yang turut menghulurkan sumbangan pada majlis tersebut antaranya adalah Maxis yang menyediakan pendaftaran sim kad percuma yang terisi RM35 setiap keping kepada penerima.


Tag: