• 05 Okt 2024 | 02 Rabiul Akhir 1446

Dialog EXCO Platform Terbaik Rakyat Terima Maklumat Tepat

KUALA NERUS, 3 Oktober - Program Dialog EXCO yang kini sedang giat dilaksanakan secara berperingkat melibatkan lapan daerah di negeri ini disifatkan sebagai landasan terbaik untuk rakyat mendapat maklumat tepat daripada kerajaan.

Salah seorang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan bagi DUN Batu Rakit, Mohd Fadhil Ismail berkata, program bersemuka itu juga membolehkan rakyat bertanyakan soalan secara langsung kepada EXCO sekali gus menjawab segala persoalan yang berlegar dalam kalangan masyarakat.

"Alhamdulillah melalui program ini kerajaan negeri dapat sampaikan apa jua maklumat kepada rakyat mengenai apa usaha, matlamat dan hulu tuju kerajaan negeri serta perjalanan kerajaan negeri dalam keadaan terhimpit.

"Sepanjang program ini berlangsung, kita telah melihat banyak soalan-soalan yang berkisar tentang kesan ekonomi selepas kerajaan negeri tidak lagi diberikan royalti petroleum seperti biasa.

"Jadi telah diberikan penerangan apa solusi untuk masa hadapan dengan wujudnya usaha bagi menambah pendapatan baharu yang boleh menyakinan penduduk dan Pengerusi JPKK mendapat maklumat yang tepat dalam melaksanakan dasar kerajaan terutama bagi memastikan kebajikan kepada rakyat dapat diteruskan," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Program Dialog EXCO yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru, Kuala Nerus, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Fadhil berkata program yang dianjurkan oleh UPDI itu perlu diperluaskan lagi dan diadakan secara berterusan agar rakyat faham mengenai apa yang terjadi serta dapat mengetahui info-info terbaharu mengenai setiap perancangan dan agenda yang dijalankan.

"Terima kasih kepada pihak kerajaan negeri serta penganjur yang telah mengadakan program ini sekali gus mendekatkan pimpinan kerajaan negeri bersama rakyat," katanya.