Mangsa Banjir Terengganu Cecah 31,275, Semua Daerah Terjejas
Kerajaan negeri menganugerahkan sukarelawan negara yang menyertai misi ‘Women’s Boat To Gaza’, Dr. Fauziah Hassan sebagai tokoh serikandi Khaulah al-Azwar yang membawa maksud 'Bidadari Besi'.
Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, usaha dirintis beliau wajar diteladani oleh rakyat Terengganu khususnya kejayaan dalam misi penuh mencabar itu.
Beliau berkata, atas usaha yang dilakukan oleh Dr. Fauziah selaku Lembaga Pemegang Amanah, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan Penasihat Rose To Rose (R2R) kerajaan negeri turut memperuntukkan sumbangan sebanyak RM50,000 bagi mengisi tabung kemanusian tersebut.
“Kerajaan negeri bersedia untuk membantu tabung ini dalam melakukan kutipan-kutipan di Terengganu kerana kita mahukan semua rakyat Terengganu mempunyai saham dalam perjuangan yang dilakukan oleh Dr. Fauziah bersama rakan-rakannya seperjuangannya.
“Selain itu, saya juga mahu tawarkan kepada Dr. Fauziah selaku wakil MyCARE dan R2R untuk mengadakan jelajah di seluruh Negeri Terengganu untuk terjemahkan apa yang sedang dilakukan oleh beliau sendiri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Bual Bicara Bersama Dr. Fauziah Hassan yang bertajuk Women’s Boat To Gaza: Catatan Pengalaman di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farok Hussin Tengku Abd. Jalil.
Dalam pada itu, Dr. Fauziah berkata walaupun misi yang dijalankan sebelum ini tidak dapat diteruskan, namun kumpulannya tidak patah semangat untuk melakukannya lagi.
“Kumpulan kami, Freedom Flotilla Coalition akan meneruskan misi selagi kepungan ke atas Gaza tidak dipecahkan.
“Pada Mei tahun hadapan, kami akan adakan perjumpaan di Stockholm untuk merancang misi yang seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Fauziah turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dalam usaha membantu pihaknya untuk menerus dan merealisasikan misi-misi membantu rakyat di Gaza.