Dr Khairuddin Serah Sumbangan Tilam Kenaf Kepada Mangsa Banjir Temerloh
Oleh : Syahida Mohd / Qatadah Zakaria
KUALA NERUS, 17 Januari - Musibah banjir yang melanda di Temerloh, Pahang mendapat perhatian ramai termasuk Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau menerusi Misi Bantuan Prihatin Mangsa Banjir Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyampaikan 230 unit tilam termasuk yang berasaskan kenaf serta pelbagai barangan keperluan lain di Kampung Mempateh, Lanchang di Temerloh, Pahang, baru-baru ini.
Majlis ringkas penyampaian bantuan banjir Temerloh itu diadakan di Darul Ansar, Lanchang.
Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang, Hasanuddin Salim.
Dalam majlis tersebut, Dr. Khairuddin berkata, KPKK telah melaksanakan misi turun padang pada peringkat awalnya di Raub dan seterusnya di Chenor.
"Alhamdulillah, hari ini kita sampai ke Temerloh dan kita akan cuba bantu semampu yang boleh mangsa-mangsa banjir di sini.
"Kita juga berharap usaha ini dapat melegakan sedikit sebanyak beban rakyat Temerloh," ujarnya.
Sementara itu, salah seorang penerima bantuan, Hazari Muhamad Apandi, 40, berkata, sungai yang kecil di kawasan Temerloh telah menyumbang kenaikan air secara mendadak dan menyebabkan orang kampung tidak sempat mengalihkan barang mereka ke tempat yang selamat.
"Air sungai naik deras di kawasan kami. Tak sampai beberapa jam, air sudah naik sehingga ke paras atap rumah. Apa barang pun tak sempat kami selamatkan.
"Tapi alhamdulillah, kami bersyukur kerana bantuan sampai tak henti-henti pada kami,"katanya,