Dr. Sam Ajak Orang Ramai Sertai Sukarelawan Banjir T-Volt

KUALA TERENGGANU, 3 Disember -  Menteri Besar Terengganu mempelawa orang ramai untuk menyertai Sukarelawan Pasca Banjir Terengganu Volunteer (T-Volt) bagi tahun 24/25.

Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Negeri membuka ruang seluas-luasnya bagi sesiapa yang ingin menyumbang tenaga membantu mangsa banjir.

“Pasca banjir, banyak tangan dan tenaga yang diperlukan untuk membantu memulihkan kawasan terjejas terutamanya rumah-rumah mangsa dan kawasan sekitar.

“Kini, kami membuka peluang buat semua sukarelawan yang bersemangat dan prihatin untuk menyertai usaha pemulihan ini.

“Setiap bantuan, besar atau kecil memberi kesan yang besar dan bermakna kepada mereka (mangsa banjir),” tulisnya dalam hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

T-Volt adalah pertubuhan badan bukan kerajaan yang menghimpunkan sukarelawan yang ditubuhkan di bawah Kerajaan Negeri Terengganu dan diselia oleh Urusetia Belia Sukan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT).

Menerusi hantaran di laman UBSNT, pihaknya memaklumkan sedang membuka ruang dan peluang kepada orang ramai untuk menabur bakti dan tenaga bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

“Sukarelawan yang berminat untuk menyertai Misi Pasca Banjir, bolehlah mengisi maklumat dan menyertai ‘WhatsApp Group’ melalui pautan https://forms.gle/wYzDEARFz2YJ1qrq7 ,” ujarnya menerusi hantaran berkenaan.