KUALA TERENGGANU, 13 November – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan sebab utama kerajaan negeri tidak menyebut jumlah bonus dalam pembentangan Bajet 2026 baru-baru ini, meskipun isu itu menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurut beliau, keputusan untuk tidak mengumumkan angka bonus ketika pembentangan adalah satu langkah berprinsip, bagi mengelak persepsi bahawa bajet negeri dijadikan medan untuk bermegah atau mencari pujian.
"Ada juga pihak di luar yang mempersoalkan pembentangan bajet tahun ini kononnya tidak menyebut angka atau jumlah bonus. Jika dibaca kembali pembentangan bajet saya sebelum ini, inilah kali pertama daripada tujuh pembentangan bajet sejak 2018 yang saya tidak menyebut angka, termasuk bonus," katanya dalam Ucapan Penggulungan Ke Atas Enakmen Perbekalan 2026 Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
"Ini kali kedua tiada disebut bonus, kali pertama ialah pada tahun 2024 kerana masa itu berlaku pilihan raya kecil Parlimen Kemaman.
"Saya tidak mahu menggunakan kedudukan saya sebagai Menteri Besar untuk membuat pengisytiharan bonus dalam keadaan berdepan dengan pilihan raya di Kemaman," ujar beliau.
Beliau menegaskan, pendekatan itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk membudayakan nilai integriti dan profesionalisme dalam setiap pembentangan bajet, agar ia tidak disalah tafsir sebagai pertunjukan kebolehan atau alat politik.
"Kita berdepan dengan satu budaya baharu yang perlu berlaku dalam negara ini.
"Pada tahun ini juga saya tidak menyebut tentang angka-angka kerana saya ingin membudayakan bahawa pembentangan bajet bukanlah suatu ‘grandstanding’, bukan upacara menunjuk-nunjuk atau kebolehan bercakap dalam pelbagai bahasa.
"Kita mahu berbicara dengan jelas dan langsung kepada rakyat," tambah beliau.
Dalam ucapannya, Dr. Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa pengumuman bonus tahun ini dibuat secara berasingan bagi memastikan mesej bajet disampaikan dengan lebih fokus dan berhemah.
"Sebab itulah saya tidak menyebut angka bonus dalam pembentangan, tetapi memilih untuk mengumumkannya dalam penggulungan hari ini," ujarnya.
Beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju memberikan bonus sebanyak RM500 kepada penjawat awam negeri Terengganu, sebagai penghargaan atas sumbangan mereka dalam memperkukuh pentadbiran negeri.