lightning-solid
Berita :
Dr. Sam Galas Amanah, Tekad Perkukuh Muafakat Politik
Dr. Sam Galas Amanah, Tekad Perkukuh Muafakat Politik
Mastura Jamal Din
18 jam yang lepas
183

KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, pelantikan tersebut diputuskan oleh semua presiden parti anggota gabungan itu bersama ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional dalam mesyuarat khas yang berlangsung, semalam.

Menurutnya, amanah yang dipikul itu bukan sahaja besar malah mencabar, lebih-lebih lagi ketika PN menjadi sandaran harapan rakyat yang mahukan perubahan lebih baik merentasi perbezaan agama, kaum dan latar belakang sosioekonomi.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan ini. 

"Tanggungjawab ini menuntut komitmen dan kesungguhan seluruh kepimpinan bagi memastikan PN terus menjadi wadah perjuangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya.

Beliau pada masa sama menzahirkan penghargaan kepada bekas pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, atas jasa dan kepimpinan beliau sejak penubuhan gabungan itu sehingga berjaya membina asas muafakat politik yang kukuh serta meraih pencapaian memberangsangkan dalam pilihan raya lalu.

Tambah beliau, satu mesyuarat kepimpinan akan diadakan dalam masa terdekat bagi menentukan pelantikan jawatan-jawatan penting selaras dengan peruntukan perlembagaan gabungan berkenaan.

Tegasnya, keutamaan ketika ini ialah memperkukuh muafakat politik, selain melaksanakan penambahbaikan struktur organisasi dan gerak kerja supaya PN mampu berfungsi sebagai nukleus harapan rakyat serta kekal relevan dalam arus politik semasa.


Tag :

Artikel Berkaitan