KEMAMAN, 19 November - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman medan untuk rakyat memilih wakil yang boleh membawa suara mereka ke Dewan Rakyat.
Calon Parti Islam Se-malaysia (PAS) Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pelbagai fokus yang akan diberi keutamaan dalam membangunkan ekonomi daerah berkenaan.
“Antaranya adalah memastikan penggunaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat dimanfaatkan sebaik mungkin, memperbesarkan pelabuhan Kemaman dan pelbagai industri yang akan masuk ke daerah ini.
"Perkara tersebut akan disusun dengan baik dan akan menjadikan Kemaman Sebuah tempat yang sangat berjaya maju,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyantuni masyarakat dan melawat Markaz Unit Daerah Mengundi (UDM) Chukai, Kemaman di sini semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, pelbagai perkara telah dicapai di daerah Kemaman ini.
Tambahnya lagi, Ahli Parlimen yang lalu telah melaksanakan tugas mereka dengan baik yang telah menghantar mesej penting daripada Kemaman ke Dewan Rakyat.
“Perkata tersebut tidak dinafikan tinggal lagi aspek yang perlu ditambah baik.
“Di samping, perlu dilihat beberapa perkara yang sebelum ini dibuat keputusan di peringkat persekutuan untuk dilaksanakan di daerah Kemaman dan daerah-daerah lain.
“Namun, tidak dilaksanakan apabila bertukar kerajaan di peringkat Putrajaya baru-baru ini.
“Oleh sebab itu, perlu dibuat rombakan pimpinan di peringkat pusat serta kita mahu hantar mesej yang jelas di dewan rakyat,” ujarnya.