KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga renjer yang disifatkan sebagai wira tidak didendang dalam usaha memelihara khazanah alam.
Menurut beliau, tugas renjer bukan sahaja memerlukan keberanian dan komitmen tinggi, malah turut menuntut pengorbanan dalam memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.

"Renjer merupakan antara wira yang tidak didendang atau 'unsung heroes' dalam usaha memelihara khazanah alam dan yang sentiasa berada di lapangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Renjer Sedunia Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Menteri Besar merakamkan penghargaan kepada seluruh warga renjer atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan dalam melindungi khazanah alam negeri.
"Kepada seluruh warga renjer, terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan.
"Teruskanlah berkhidmat penuh integriti, keberanian dan dedikasi," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut mengucapkan tahniah kepada Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu atas penganjuran program berkenaan yang turut melibatkan pelbagai agensi, jabatan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha konservasi di negeri itu.