lightning-solid
Berita :
ADUN Belia Perlu Jadi Ejen Penerangan, Lawan Fitnah di Media Sosial
ADUN Belia Perlu Jadi Ejen Penerangan, Lawan Fitnah di Media Sosial
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
68

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu disaran memainkan peranan sebagai ejen penerangan dan ejen kebenaran dalam menghadapi cabaran penyebaran maklumat di media sosial.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, golongan itu perlu menggunakan platform digital untuk menyampaikan maklumat yang sahih, menyebarkan nilai-nilai Islam serta membantu masyarakat memahami dasar dan inisiatif kerajaan negeri.

Menurutnya, ADUN Belia juga perlu tampil menjadi suara masyarakat ketika timbul kekeliruan atau maklumat yang tidak tepat.

“Platform digital sewajarnya menjadi ruang untuk mendidik, bukan menghukum; menyatukan masyarakat, bukan memecah-belahkan.

“Media sosial hari ini bukan lagi sekadar medium hiburan, tetapi medan pembentukan pemikiran, persepsi dan budaya masyarakat.

“Dalam beberapa saat sahaja, sesuatu berita mampu tersebar kepada jutaan manusia.

“Justeru, media sosial boleh menjadi alat yang membina, tetapi juga mampu menjadi punca fitnah dan perpecahan sekiranya disalahgunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Ketiga T-Apprentice Siri 3 2024/2026 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mohd Nor berkata, perkembangan teknologi dan media sosial menuntut generasi hari ini lebih berhati-hati sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu maklumat.

Katanya, perkara itu selari dengan peringatan dalam Surah al-Hujurat ayat 6 yang menekankan prinsip tabayyun atau menyemak terlebih dahulu sesuatu berita yang diterima.

“Prinsip tabayyun ini amat penting dalam era digital supaya masyarakat tidak mudah dipengaruhi berita palsu, fitnah dan propaganda yang boleh merosakkan perpaduan,” katanya.

Justeru, beliau mahu ADUN Belia menggunakan pengaruh dan ruang yang ada di media sosial secara bertanggungjawab, bukan sekadar menjadi pengguna atau pemerhati, sebaliknya membantu membentuk masyarakat yang lebih matang dalam menilai sesuatu maklumat.


Tag :

Artikel Berkaitan