Jalur Gemilang
Berita :
Khidmat Malaysia Kemaman Diperkukuh, Persiapan Hadapi Monsun Timur Laut Diberi Keutamaan
Khidmat Malaysia Kemaman Diperkukuh, Persiapan Hadapi Monsun Timur Laut Diberi Keutamaan
Ezani Razali
2 jam yang lepas
81

KEMAMAN, 1 November – Pelancaran Khidmat Malaysia Kemaman bukan sekadar satu acara rasmi, sebaliknya menjadi manifestasi komitmen untuk memperkukuhkan gerak kerja kebajikan, kesukarelawanan dan bantuan kemanusiaan, khususnya ketika masyarakat berhadapan dengan musibah serta bencana.

Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Terengganu, Pesuruhjaya Kehormat (PA) Dato’ Hanafiah Mat berkata, kekuatan sesebuah pasukan sukarelawan bukan hanya terletak pada jumlah keanggotaan, tetapi turut bergantung kepada kesediaan berkhidmat, kecekapan bertindak dan keikhlasan membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang.

"Persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 perlu diberikan perhatian serius agar segala bentuk bantuan dapat disediakan dan disalurkan dengan cepat serta teratur apabila diperlukan.

"Justeru, kerajaan telah menyediakan peruntukan sekitar RM13.4 juta bagi menghadapi musim tengkujuh kali ini, melibatkan RM2.4 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan RM11 juta daripada Kerajaan Negeri," ujarnya ketika merasmikan majlis tersebut di Dewan Dato’ Haji Hanafiah Mat, Kampung Paya Berenjut, kelmarin.

Pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu turut menyediakan 127 pangkalan hadapan bagi memastikan bekalan keperluan asas dapat disalurkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir.

“Berdasarkan laporan bertarikh 26 Oktober 2026, tahap persediaan bekalan di pangkalan-pangkalan hadapan tersebut telah mencapai sekitar 80 peratus, dengan sasaran penyediaan selesai sepenuhnya pada 5 November 2026.

“Ini menunjukkan bahawa persediaan menghadapi bencana perlu dilaksanakan lebih awal dan tidak hanya bertindak selepas sesuatu kawasan dilanda banjir,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap Khidmat Malaysia Kemaman dapat memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkukuhkan kesiapsiagaan pasukan, termasuk penyediaan senarai sukarelawan, kenderaan, peralatan, sistem komunikasi serta inventori bantuan.



Selain itu, keperluan penduduk di kawasan berisiko juga perlu dikenal pasti lebih awal, manakala maklumat berkaitan situasi semasa hendaklah sentiasa dikemas kini bagi memastikan bantuan dapat disalurkan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.

Beliau turut menegaskan bahawa pengagihan bantuan perlu dilaksanakan secara teratur, telus dan mengutamakan golongan yang paling memerlukan, khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak serta keluarga yang terputus hubungan atau mengalami kesan bencana yang serius.

Dalam pada itu, Hanafiah berharap Khidmat Malaysia Kemaman terus berkembang sebagai sebuah pasukan sukarelawan yang cekap, tersusun dan sentiasa bersedia memberikan khidmat kepada masyarakat, terutama ketika berhadapan dengan bencana serta situasi kecemasan.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama serta menjayakan Majlis Pelancaran Khidmat Malaysia Kemaman.

“Semoga segala usaha, khidmat bakti dan pengorbanan seluruh anggota sukarelawan mendapat ganjaran serta keberkatan daripada Allah SWT,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan