Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Oleh: Hidayah Azlin
KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Dua exco kerajaan Terengganu melakukan lawatan mengejut ke Pasar Borong Gong Pauh di sini semalam bagi memastikan peniaga mematuhi harga siling barangan kawalan yang ditetapkan baru-baru ini.
Tinjauan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah mendapati lebih 90 peratus peniaga mematuhi pelaksanaan itu.
Walau bagaimanapun, Dr Azman berkata, masih terdapat segelintir peniaga yang ingkar dan mereka telah diberikan teguran serta amaran.
"Kami hadir untuk melihat sendiri stok bekalan barangan dan pematuhan harga barangan kawalan seperti ayam, daging, telur, kelapa dan sebagainya.
"Pasar borong ini dimanfaatkan oleh peniaga dan pengguna dari sekitar daerah ini, Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.
"Boleh saya katakan harga barangan di Pasar Borong Gong Pauh adalah gambaran harga purata untuk Terengganu," jelasnya kepada media selepas lawatan.
Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Shahidan Embok, Pengarah Pertanian Negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh, Pengarah Veterinar Negeri, Dr Mohd Termizi Ghazali dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri, YM Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmod.
Menurut Dr Azman, bagi memastikan keadilan dan kesaksamaan sebelum mengenakan sebarang tindakan penguatkuasaan harga, pihaknya mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Kalau peruncit jual mahal, bukan terus dikenakan tindakan. Perlu diteliti dahulu berapa harga yang mereka dapat dari pemborong dan berapa harga yang pemborong dapat dari pembekal.
"Semua peringkat rantaian pengeluaran akan diteliti. Termasuk juga yang dipantau ialah harga sumber input pertanian seperti baja, racun dan makanan ternakan," ujarnya.
Sementara itu, mengulas tentang bekalan makanan menjelang Aidilfitri esok, beliau berkata semuanya adalah mencukupi.
"Aneka jualan sayur-sayuran dan buah-buahan di sini adalah keluaran dari sendiri dan luar Terengganu. Setakat ini, belum ada aduan tentang bekalan tidak cukup," tambah beliau.