Dua Keluarga Mangsa Rumah Dibadai Ombak Besar Terima Bantuan

KEMAMAN, 15 Januari - Dua keluarga yang merupakan mangsa rumah yang dibadai ombak besar di Kampung Geliga Baru akan menerima bantuan bayaran rumah sewa secara bulanan.

Dua keluarga ini adalah Mohd Shazmie Izwan Safiyee, 35 tahun dan W.Ahmad Ritmauddeen W.Abu Bakar, 45 tahun yang  akan mencari rumah sewa di kawasan yang lebih selamat untuk didiami.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata laporan yang diberikannya kepadanya mendapati kedua-dua keluarga mangsa ini layak menerima bantuan ini.

Menurutnya, bantuan rumah sewa secara bulanan ini akan ditanggung oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

"Saya telah memanggil pihak MAIDAM untuk menyelesaikan perkara ini dan permohonan akan diproses secepat mungkin. 

"Satu keluarga lagi yang terlibat telah mempunyai rumah yang lain manakala sebahagian besar yang tinggal di sini merupakan penyewa rumah. Saya menasihati mereka ini agar mencari rumah sewa yang lain," katanya ketika ditemui pemberita, kelmarin.

Dalam pada itu Hanafiah turut mengingatkan kepada pemilik rumah di kawasan tersebut agar tidak lagi memberikan rumah mereka kepada penyewa lain.

"Ianya adalah bagi memastikan keselamatan penduduk setempat diutamakan agar tidak ada perkara yang tidak diingini akan berlaku,"jelas beliau.