• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Dua Kontraktor Sampah Ditamatkan Kontrak

KUALA TERENGGANU, 29 November - Kerajaan negeri telah menamatkan kontrak dua kontraktor sampah yang didapati tidak mencapai prestasi kerja ditetapkan dalam memastikan tahap kebersihan di zon operasi mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr. Alias Razak berkata, lantikan kontraktor baru juga telah dibuat bagi memastikan kebersihan di negeri Terengganu sentiasa terjaga.

"Kita memang ada pegawai khas yang ditetapkan untuk mengawasi seluruh tapak-tapak ini dalam memastikan kontraktor terlibat menjalankan tugasnya dengan sempurna.

"Tetapi dalam pengawasan kita dan penggunaan 'smart bin' pun masih ada lagi yang cuai dalam menjaga kebersihan. Walaubagaimanapun, pihak MBKT sentiasa membuat pemantauan dan denda sekiranya tapak tersebut tidak diselia dengan baik oleh kontraktor terlibat," katanya ketika menjawab soalan daripada ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman dalam sesi soal jawab lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.

Tambahnya, bagi tahun 2022 terdapat sebanyak 1,084 lokasi tapak tong sampah melibatkan 583 lokasi di Kuala Terengganu dan 501 lokasi di Kuala Nerus di bawah kelolaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Menurutnya lagi, secara purata sebanyak tiga tong sampah ditempatkan di setiap lokasi tapak dengan jumlah keseluruhan tong sampah yang disediakan di dua daerah berkenaan adalah 3,255 unit.

"Tahun lepas, kita telah beri peruntukan tambahan membeli tong sampah tambahan, namun berdepan masalah vandalisme yang masih berlaku menyebabkan tong sampah selalu berkurangan.

"Kita harap disiplin rakyat dan pendidikan tentang pembuangan sampah secara teratur dapat mengurangkan vandalisme,” katanya yang turut menyarankan supaya kesedaran masyarakat terhadap kebersihan masih perlu dipupuk ke tahap lebih tinggi dalam usaha mewujudkan persekitaran bersih di Terengganu.

 


Tag: