SETIU, 15 Jun – Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jabi bersama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-Mits) DUN Jabi terus memperkukuh komitmen mereka dalam memastikan kebajikan seluruh warga DUN berkenaan sentiasa terbela tanpa mengira latar belakang politik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim menegaskan bahawa agenda menyantuni rakyat merupakan keutamaan yang merangkumi setiap lapisan masyarakat, termasuk warga emas, wanita, golongan belia, serta beliawanis.
Menurut beliau, prinsip meminggirkan perbezaan politik adalah kunci utama dalam memastikan setiap bantuan dan perkhidmatan yang disalurkan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan, memandangkan semua penduduk adalah rakyat yang wajib disantuni.
"Kita ingin terus berbakti tanpa basi-basi. Apa yang penting ketika ini adalah menyusun strategi untuk bekerja secara bijak bagi memastikan khidmat terbaik dapat diberikan kepada seluruh warga Jabi," katanya.
Mengulas lanjut mengenai perancangan masa depan pusat khidmat tersebut, Dr. Azman menjelaskan fokus kini terarah kepada pengoptimuman sumber sedia ada bagi mencapai impak yang maksimum.
Beliau mahu setiap jentera, aset, dan sumber tenaga kerja yang ada di bawah seliaannya dimanfaatkan sepenuhnya demi kelangsungan program-program kemasyarakatan yang lebih efektif.
"Letak sasaran untuk mendapatkan penghasilan yang terbaik. Kita mahu setiap gerak kerja yang diatur mendatangkan manfaat yang nyata kepada masyarakat," tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Dr. Azman turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat dan i-Mits DUN Jabi atas dedikasi serta khidmat bakti yang tidak berbelah bahagi sepanjang mengendalikan urusan kebajikan rakyat di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Dr. Azman turut memberi pengiktirafan khusus kepada Setiausaha Majlis Tindakan DUN (MTD) Jabi merangkap Penyelia i-Mits DUN Jabi, Norrisabri Ismail, yang disifatkannya sebagai contoh terbaik penggerak parti yang berdedikasi.
Menterjemahkan istilah 'Setiausaha' sebagai gabungan dua perkataan iaitu 'Setia' dan 'Usaha', beliau menyifatkan Norrisabri Ismail sebagai seorang individu yang sentiasa setia dan tidak pernah berhenti berusaha dalam menjalankan amanah yang diberikan.
"Beliau walaupun berusia lebih muda daripada saya, namun merupakan orang lama yang sangat setia dalam perjuangan parti," ujar beliau lagi.
Tag :