Berita :
DUN Terengganu Lulus Pindaan Enakmen PMINT 1965
DUN Terengganu Lulus Pindaan Enakmen PMINT 1965
Mohd Irsyadi Abu Bakar
2 jam yang lepas
68

KUALA TERENGGANU, 23 April - Rang Undang-undang Suatu Enakmen untuk meminda Enakmen Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) 1965 diluluskan pada Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Rang Undang-undang tersebut dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Dato' Satiful Bahri Mamat dan di sokong ADUN Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor.

Menurut Satiful, pemindaan rang undang-undang itu melibatkan tiga fasal yang dibentangkan.

"Fasal satu mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuatkuasa enakmen yang dicadangkan. 

"Fasal dua, bertujuan untuk meminda Seksyen 5 enakmen bagi menetapkan Setiausaha Kerajaan Terengganu (SUK) sebagai Timbalan Pengerusi Perbadanan. 

"Fasal ketiga pula bertujuan untuk meminda subsection 10(3) enakmen bagi membolehkan mana-mana ahli yang dibenarkan oleh perbadanan untuk hadir dan menandatangani apa-apa surat perkara semasa cap mohor diucapkan, dicapkan selain dengan kehadiran dan tandatangan ketua pegawai eksekutif kumpulan," katanya ketika membentangkan rang undang-undang berkenaan, hari ini.

Jelasnya, dari sudut implikasi kewangan, rang undang-undang itu tidak akan melibatkan kerajaan negeri dalam apa-apa perbelanjaan wang tambahan. 

Rang Undang-undang tersebut mendapat undian sebulat suara ADUN-ADUN dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan