Duyong Marina Belanja RM4.4 Juta Baik Pulih Kemudahan
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu bagi membolehkan resort kerajaan negeri, Duyong Marina & Resort (DMR) melakukan kerja pengubahsuaian dan pembaikan secara menyeluruh bermula 1 Ogos 2022.
Pengurus besarnya, Wan Mohd. Faizul Wan Abas berkata, kos terbabit melibatkan renovasi keseluruhan kawasan termasuk chalet, bangunan Cindai, bangunan Marina serta peralatan mekanikal dan pendawaian elektrik.
"Kita juga akan membaiki apa jua kerosakan yang berlaku di sepanjang jeti, apa yang rosak kita akan gantikan semua, termasuk mengantikan dinding, atap bocor dan semua penghawa dingin kita akan tukar baharu.
"Proses ini dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2023, setelah dibaik pulih pelbagai perancangan akan kita lakukan untuk membangunkannya kerana kita telah ada pelan induk untuk pembangunan di masa akan datang," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, ketika Majlis 'Soft Launch' Kempen Salam Malaysia #SenyumSokmo, di Verandah Restaurant, DMR, di sini baru-baru ini.
Ujar Wan Mohd. Faizul, tindakan yang diambil itu sekali gus membuktikan segala aduan yang disuarakan pengunjung didengari oleh pengurusan DMR
"Sebenarnya kita sentiasa mengambil berat terhadap setiap aduan daripada pelanggan apabila datangnya sebarang aduan kita memberikan tindak balas segera untuk kepuasan pengunjung sebab kita sentiasa 'on call' untuk melakukan kerja-kerja penyelengaraan.
"Menjadi masalah ialah aduan tidak diasalurkan segera, sebaliknya dimaklumkan selepas keluar dari hotel, saya rasa itu tidak wajarlah sebagaimana aduan yang pernah ditularkan dahulu mengenai bilik kotor dan rosak yang sengaja dihebahkan di media sosial sedangkan tiada sebarang aduan pun diterima.
"Kami mengambil sikap untuk tidak memanjangkan isu terbabit, kerana ia memerlukan masa dan juga kos jadi kami dinasihatkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan pimpinan negeri agar tidak menyaman pihak yang melakukan dakwaan berkenaan, demi kebaikan apa teguran yang betul kita ambil tindakan dan atas tohmahan yang tidak betul, kita maafkan," ujarnya lagi.