Edar Stokin Percuma Galak Wanita Tutup Aurat

BESUT, 27 Februari - Inisiatif Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Wanita Kebajikan Nur Insani (Nisa') mengedarkan stokin percuma di Pasar Malam Kampung Raja sempena kempen Terengganu Hijab Day adalah untuk menggalakkan kaum wanita menutup aurat.

Ketua Nisa' Kawasan Besut, Nor Rafidah Razak berkata, program dikelola Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu itu dijayakan di peringkat daerah bagi meneruskan gelombang Terengganu Hijab Day.

Katanya, ia juga bagi memastikan rakyat di bawah merasai impak program tersebut.

Gambar ketika edaran stokin dan risalah
Edaran stokin dan risalah.

"Sebenarnya program ini dianjurkan sebagai salah satu usaha dakwah untuk mendekati masyarakat dan menggalakkan masyarakat umum khususnya kaum wanita untuk bertudung dan menutup aurat dengan lebih sempurna mengikut syariat islam.

"Pemakaian hijab ini bukan hanya untuk wanita yang faham agama sahaja, tapi adalah kewajipan bagi setiap wanita yang mengaku dirinya muslim," jelasnya.

Beliau beliau berkata demikian selepas selesai membuat edaran stokin dan risalah di Tapak Pasar Malam Kampung Raja semalam.

Gambar Nor Rafidah ketika memberi ucapan

Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata, Terengganu Hijab Day yang telah memasuki tahun kelima penganjurannya adalah usaha berterusan dalam memperkenalkan pakaian mengikut syariat sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam.

"Bagi memastikan pakaian menutup aurat dan berhijab dengan tepat mesti melabuhkan sehingga ke bawah paras dada, yang ini kita beri didikan dari semasa ke semasa, apatah lagi wanita muda hari ini suka bergaya mengikut fesyen masing-masing.

"Jadi kita cuba kemukakan, bahawa inilah pakaian yang sebenar mengikut etika patuh syariah," ujarnya lagi.